suria

Zahirah MacWilson, Aiman nikah Khamis ini? - “Bukan tak nak kongsi tapi...”

Aiman dan Zahirah berdebar bakal bergelar suami isteri.

MENGHITUNG hari pernikahan, pelakon Zahirah MacWilson mengakui semakin berdebar dan teruja menanti detik bergelar isteri kepada pelakon Aiman Hakim Ridza.

Zahirah atau Nur Zahirah MacWilson Zainol, 25, berkata dia tidak berniat untuk merahsiakan mengenai hari bahagian itu, sebaliknya ingin memberikan kejutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Zahirah MacWilson, Aiman Hakim bertunang di Perth

"Satu momen yang besar dan perjalanan serta cabaran baru untuk saya. Tunggu dan lihat saja pada hari kejadian.

"Tapi majlis pernikahan saya akan diadakan di Malaysia. Saya bukan tak nak berkongsi atau nak berahsia mengenai perkara ini tapi biarlah ia menjadi satu kejutan.

Aiman dan Zahirah bertunang pada 8 Jun tahun lalu.

"Terima kasih kepada semua yang memberi ucapan positif kepada kami. Saya gembira kerana semua orang turut gembira,” kata Zahirah kepada mStar.

Zahirah ditemui ketika majlis pelancaran filem Bulan Dan Pria Terhebat di Nicsmann, The Starling Mall, Petaling Jaya pada Isnin.

Filem arahan Ghaz Abu Bakal yang bakal ditayangkan pada 12 Mac depan turut dibintangi oleh Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman,  Bell Ngasri, Alif Hadi dan Aprena Menrose.

Sementara itu, Zahirah tidak menafikan atau mengesahkan tarikh 20 Februari iaitu Khamis ini merupakan tarikh pernikahan mereka seperti yang ditulis di Instagram Aiman.

Pada Jumaat lalu, Aiman menerusi Instagram memuat naik foto pra-perkahwinan dengan tanda pagar yang tertera nama gabungan mereka serta tarikh penting iaitu 20 Februari 2020.

Saya bukan tak nak berkongsi atau nak berahsia mengenai perkara ini tapi biarlah ia  menjadi satu kejutan.

ZAHIRAH MACWILSON

PELAKON

Dalam pada itu, pelakon drama Curi-Curi Cinta ini memberitahu dia enggan meletakkan sasaran majlisnya bakal menjadi ‘wedding of the year’ kerana apa yang penting adalah meraikan bersama keluarga dan kenalan rapat.

"Saya tak nak letakkan harapan apa-apa atau sasaran untuk jadi wedding of the year. Sebab apa yang penting, majlis ini lebih untuk meraikan bersama keluarga, media dan kenalan rapat.

"Segala persiapan dan urusan perkahwinan ini saya buat sendiri dan mendapat bantuan daripada keluarga juga,” ujarnya.

Zahirah dan Aiman mengikat tali pertunangan pada 8 Jun tahun lalu di kediaman keluarga aktres itu di Perth, Australia selepas hampir enam bulan menjalinkan hubungan cinta.

Artikel Lain