suria

“PU Riz tak pernah buat benda mengarut, tersentuh pun dia minta maaf!” - Ayu Puteh

Ayu tak halang jika Wanna mempunyai hubungan istimewa dengan PU Riz.

PENERBIT filem Datuk Ayu Puteh mengakui terkejut dengan penyebaran foto lucah mirip Pencetus Ummah (PU) Riz dan menganggap ia sebagai fitnah semata-mata.

Pemilik produksi Pencil Pictures dan Records itu berkata, tuduhan berniat jahat seperti itu hanya ingin menjatuhkan kerjaya PU Riz yang kini sedang melebarkan sayap ke bidang lakonan.

"Saya tahu Riz berkawan dengan Wanna dan saya tak ada masalah tentang hal itu. Cumanya apabila heboh mengenai penyebaran foto itu, kami semua terkejut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Itu bukan saya!” - PU Riz diugut sebelum foto pegang 'burung' miripnya tersebar, sudah buat laporan polis

"Riz ada berlakon dalam filem terbitan syarikat kami berjudul Ada Apa Dengan Dosa dan sepanjang mengenalinya tak mungkin dia buat begitu. Saya percaya foto itu telah diedit dan bukannya foto sebenar.

"Individu yang menyebarkan imej lucah itu ada niat jahat dan cuba untuk menjatuhkan karier Riz. Biasalah, fitnah itu berada di mana-mana!," katanya kepada mStar.

Ayu turut memberitahu dia sedar pendakwah bebas itu kini sedang berkawan rapat dengan anaknya pelakon Wanna Ali.

Dia ditemui semasa Majlis Jamuan Hari Raya Pencil Pictures & Records bersama Pusat Tahfiz Syabab yang diadakan di Kepong, Kuala Lumpur pada Selasa.

Pada pagi Selasa, tular dua keping foto memperlihatkan aksi memalukan seorang lelaki memegang alat sulit dikatakan mirip PU Riz atau nama sebenar Muhammad Haris Ismail.

Terkejut dengan dakwaan tersebut, Riz menafikan foto itu adalah dirinya dan telah membuat laporan polis berhubung penyebaran imej lucah tersebut.

Dalam pada itu, Ayu berkata sepanjang bekerjasama dengan aktor berkenaan, Riz merupakan seorang lelaki yang menjaga adab dan tidak pernah menunjukkan kelakuan atau aksi kurang sopan.

"Sepanjang dia shooting dengan kami dia sangat jaga adab dan batas pergaulan dengan wanita.

Ayu anjurkan majlis hari raya di Pusat Tahfiz Syahab.

"Sebab itu saya tak percaya apabila tersebar foto lucah begitu kerana mengenalinya dia tak akan buat benda-benda mengarut.

"Malah, sebelum ini dia pernah meminta maaf berkali-kali kepada Wanna hanya kerana tersentuh tangan semasa penggambaran," ujarnya.

Dalam berdepan gosip liar itu, Ayu atau nama sebenar Normashayu Puteh berharap Riz kuat dan tidak berputus asa disebabkan fitnah tersebut.

Ujarnya sebagai anak seni, fitnah serta kontroversi sering berlaku dan ia seharusnya menjadi pengalaman berguna dalam mengejar cita-cita.

"Kontroversi atau gosip itu asam garam sebagai anak seni dan saya harap Riz tidak mudah mengalah atau putus asa apabila berdepan isu panas begini.

"Saya yakin dia mampu pergi jauh dan boleh berdakwah kepada masyarakat melalui lakonan. Insya-Allah semoga kebenaran akan terbukti dan Riz akan jadi lebih kuat," katanya yang turut merestui jika Wanna menjalinkan hubungan serius dengan Riz.

PU Riz, Wanna Ali, Ayu Puteh

Artikel Lain