suria

Mohd Naguib Tolak Tuduhan Tidak Buat Kerja

Naguib Razak
Naguib Razak
Naguib Razak

PETALING JAYA: Ketua Pengarah (KP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd Naguib Razak, telah mengotakan janjinya untuk melakukan perubahan selepas menerajui perbadanan itu dan menolak dakwaan kononnya dia "tidak buat kerja".

Naguib berkata, terdapat beberapa perubahan dilakukan termasuklah menyusun semula infrastruktur pasaran filem mengikut transformasi ekonomi dan menambah beberapa sistem baru.

"Selepas membuat sesi dialog secara terbuka dengan pihak media dan penggiat-penggiat seni tidak lama dulu, kami (Finas) telah melakukan kajian dan ada beberapa perkara yang memerlukan penambahbaikan.

"Kami telah merombak beberapa perkara seperti menyusun semula perkara berkaitan pemberian rebat, skim wajib tayang dan duti hiburan selain beberapa penambahan sistem dilakukan," katanya yang dihubung mStar Online, di sini, Rabu.

Tambah Naguib, salah satu sistem baru yang akan diwujudkan ialah menjana ekonomi daripada produksi luar negara dengan menggalakkan mereka menjalani penggambaran di Malaysia.

Malah katanya, pihak Finas kini sedang mempercepatkan urusan perjanjian kerjasama di antara Malaysia dan Australia mengenai sistem tersebut.

"Banyak perkara yang negara luar praktik tetapi tiada dalam industri perfileman kita lebih-lebih lagi berkaitan dengan kerjasama membabitkan penggambaran.

"Sebagai contoh, andai kata produksi luar ingin menjalani penggambaran di sesebuah negara, mereka diberikan rebat atas belanja penggambaran. Justeru itu, sistem tersebut akan dipraktikkan untuk menarik lebih banyak lagi penggiat filem luar negara memilih Malaysia sebagai lokasi pilihan," ujarnya.

Naguib akan mengadakan sidang media khas pada Jumaat ini, pukul 3 petang di Studio Mix Stage, Finas, Ulu Klang, bagi mengulas lebih lanjut tentang perubahan yang dilakukannya selepas menerajui agensi itu.

Sejak Naguib menjawat jawatan KP Finas pada 1 September lalu bagi menggantikan Mohd Mahyidin Mustakim, beliau telah memberi jaminan untuk melakukan beberapa perubahan dalam landskap dunia perfileman tempatan dalam tempoh 100 hari.

Namun, selepas tamat tempoh yang dijanjikan kredibiliti beliau dipertikaikan sesetengah pihak apabila melihat tiada perubahan yang berlaku.

Menurut Naguib, walaupun ramai yang tidak sabar untuk mengetahui perubahan yang dilakukan, hal tersebut tidak memberikan tekanan buatnya, sebaliknya tugas yang baru dipikul itu dianggap satu kerja menarik kerana cabaran-cabaran yang perlu dilalui.

"Banyak perkara telah ditentukan, cuma Finas perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak kementerian sebelum mengumumkan kepada semua.

"Cuma, saya tak boleh melakukan perubahan drastik dalam tempoh masa yang singkat kerana bimbang perkara yang diubah itu hanya dapat bertahan untuk sementara sahaja.

"Tambahan pula, melakukan satu perubahan dalam industri bukannya mudah kerana ia memerlukan penelitian dan kajian yang sempurna. Ia akan dilakukan secara berperingkat berlandaskan program transformasi ekonomi ke arah tahun 2020," tegas Naguib.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain