suria

Norman: Ain AF8 Sehebat Aizat AF5!

Ain AF8
Ain AF8
Ain AF8

SEMUA tahu peserta Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Ain pandai menyanyi. Semua juga tahu dia mahir bermain gitar.

Adakah semua orang tahu peserta berasal dari Sandakan, Sabah ini turut hebat mencipta lagu?

Pengetua AF8, Norman Abdul Halim hanya mendedahkan kehebatan Ain atau nama sebenarnya, Nadiawaty Ainul Basir selepas tersingkir pada minggu kesembilan.

Bercakap pada sidang akhbar selepas pengumuman penyingkiran dibuat, dia berkata, Ain sebenarnya banyak mencipta lagu.

Katanya, setakat ini, peserta AF itu telah mencipta lebih kurang 30 buah lagu.

"Bagi saya, Ain ialah pelajar AF8 atau artis yang unik. Ini kerana jarang kita jumpa penyanyi yang juga penulis lirik lagu atau produser.

"Yang pernah kita temui ialah Aizat. Jadi saya percaya Ain bakal menyerlah dalam ketiga-tiga aspek ini iaitu nyanyian, tulis lirik dan produser pada masa depan," ujarnya.

Ramai orang pasti mengharapkan Ain akan melakar kejayaan demi kejayaan sebagaimana Aizat.

Apatah lagi, kedua-dua peserta yang dilahirkan menerusi akademi itu mempunyai kebolehan yang hampir sama.

Bagi memastikan anak-anak buahnya seperti Ain berjaya di luar akademi kelak, Norman berikrar terus membantu mereka.

"Sebagaimana yang saya selalu katakan kepada para pelajar, tamatnya khidmat saya sebagai Pengetua AF pada 22 Mei ini tidak bermakna tamatnya persahabatan dengan murid-murid saya.

"Saya akan teruskan perjuangan saya membantu mereka mencapai cita-cita mereka. Saya akan tampil sebagai individu yang ingin menyokong mereka berjaya dalam industri hiburan," tegasnya.

Dia turut berharap AF menerima lebih banyak pelajar seperti Ain pada masa akan datang.

Artikel Berikut

Artikel Lain