suria

Mas Muharni tidak makan nasi demi kurus dan cantik

Mas dilihat lebih kurus berbanding semasa mula-mula dia menyertai industri lakonan ini. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Mas dilihat lebih kurus berbanding semasa mula-mula dia menyertai industri lakonan ini. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Mas dilihat lebih kurus berbanding semasa mula-mula dia menyertai industri lakonan ini. -foto mStar oleh SITI AZIRA

LANGKAH Mas Muharni dalam bidang lakonan nampaknya semakin panjang berbekalkan ilmu lakonan melalui Diploma Seni Persembahan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Namun, ada satu perkara yang kurang meyakinkan pelakon berusia 23 tahun ini untuk bergerak lebih jauh iaitu kecantikan fizikalnya.

Oleh sebab itu, pemilik nama sebenar Mas Normuharni Sheikhah Mohd. Sattar ini berazam untuk lebih cantik dan menguruskan badannya sekarang.

Bayangkan, sebelum ini dia tidak boleh menyarungkan seluar jeans yang bersaiz 25 tetapi kini dia tidak perlu risau lagi.

“Saya terasa dengan persaingan yang mantap daripada pelakon baru yang lain. Jadi, saya kata dalam diri ‘ini tak boleh jadi’ dan perlu kuruskan badan.

“Sekarang, saya nak cantik dan kuruskan badan untuk diri sendiri. Alhamdulillah, selepas saya diet tidak makan nasi, kini saya sudah boleh memakai seluar bersaiz 25.

“Sebab berdiet, saya hanya makan roti, biskut dan minum milo. Mula-mula tu terseksa juga tapi lepas tu ‘ok’.

“Semasa bulan puasa ni pun saya hanya makan dua hingga tiga sudu nasi sahaja.

“Insya-Allah, saya janji tak nak makan nasi secara kerap sampai bila-bila tetapi dalam seminggu tu ada dalam sekali atau dua kali baru saya akan makan,” cerita pelakon yang mula dikenali menerusi filem ‘Wayang’ ini.

Nekad Mas pada masa akan datang, “Saya mahu kuatkan diri, maintain dalam bidang lakonan kepada tahap yang lebih baik.

“Kalau boleh saya nak bagus dari dulu kerana artis baru ni ada yang cepat naik dan turun.

“Saya juga dalam perancangan untuk mantapkan lakonan dengan bekas pensyarah saya di UiTM iaitu koreografer ‘Sehati Berdansa’, Hamzah Tahir. Dulu, dia mengajar saya dalam kelas teater dan lakonan.”

Kena marah sampai tiada ‘mood’ berlakon

Bercerita tentang pengalamannya ketika berlakon, Mas masih ingat tentang situasi dia dimarahi oleh pengarah semasa berlakon sebuah drama sehingga hilang ‘mood’ untuk berlakon.

“Waktu memang saya rasa ‘down’ sangat sehingga menangis. Saya rasa macam tak bagus dan memang betul seperti saya katakan dulu yang saya memang tak boleh berlakon. Saya sangat sedih waktu itu..

“Tetapi sekarang saya dah ‘ok’,” ujarnya sambil tersenyum yang merahsiakan identiti pengarah yang dimaksudkan itu.

Menurut Mas, setakat ini dia hanya menerima tawaran berlakon daripada penerbit MIG Production Sdn. Bhd.

“Saya teringin juga untuk berlakon dengan pengarah lain seperti Rashid Sibir kerana saya suka hasil kerjanya terutama filem ‘Laila Isabella’.

“Saya gemar cerita ala-ala remaja dan romantik komedi,” tuturnya yang menyertai industri seni ini sejak lapan bulan lalu.

Rindu jahit baju kurung raya sendiri

Menyentuh tentang persiapan raya yang dilakukan setakat ini, Mas berkata dia tidak mempunyai masalah kerana hanya perlu fokuskan perbelanjaan untuk diri-sendiri.

“Saya belum beli baju raya lagi kerana saya lebih suka beli ‘last minute’. Insya-Allah, saya akan membeli baju kebaya pendek yang sudah siap.

“Kalau besar, saya boleh jahit dengan tangan,” katanya yang pandai menjahit baju kurung.

Cerita Mas, dia mula sudah tidak dapat menjahit baju kurung raya sendiri sejak melanjutkan pelajaran ke universiti hingga sekarang.

“Masa sekolah pada tahun 2003, saya selalu menjahit baju kurung untuk dipakai semasa raya tetapi waktu tu perlu ada orang yang boleh perhati cara saya menjahit.

“Sekarang, saya dah tak boleh menjahit lagi sebab sibuk dengan kerja..saya masih ingat lagi macam mana nak menjahit sebab saya suka menjahit. Saya rindu juga nak buat baju sendiri..,” luahnya yang tampak lebih kurus kini.

Mengenai raya pula, Mas berkata dia akan pulang beraya ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah selama seminggu.

Ditanya sama ada dia akan membuat rumah terbuka, Mas yang pertama kali beraya sebagai artis pada tahun ini menjawab, “Belum rancang lagi nak buat rumah terbuka atau tidak kerana perlu bincang dengan keluarga dulu.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain