suria

Scha-Fahrin tunggu masa sesuai ‘ikat kasih’

Scha tunggu masa sesuai untuk berkahwin dengan Fahrin. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Scha tunggu masa sesuai untuk berkahwin dengan Fahrin. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Scha tunggu masa sesuai untuk berkahwin dengan Fahrin. -foto mStar oleh SITI AZIRA

IKLAN Celcom yang menampilkan pelakon, model dan pengacara Fahrin Ahmad dan pelakon, model dan pengacara Scha kini menjadi bualan hangat.

Isunya berlaku apabila kedua-dua pelakon ini saling berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur cinta dan sayang dalam iklan itu.

Kemudian Fahrin mengajak Scha berkahwin dengan mengantar SMS ‘Jom Kahwin?’ dan Scha membalas ‘Nak..sangat..”.

Gaya dan persembahan lakonan masing-masing tampak begitu comel dan bersahaja sehingga membuatkan ramai yang tertarik untuk menontonnya.

Seperti yang diketahui, Fahrin memang bergelar duta Celcom manakala Scha pula pernah diundang berlakon dalam iklan Celcom sebelum ini.

Umum juga mengetahui Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir dan Fahrin telah menjalinkan hubungan cinta beberapa bulan yang lalu.

Lantas apabila ditawarkan untuk bergandingan bersama, ia bagai satu peluang yang tidak patut ditolak malah Scha menganggapnya sebagai rezeki.

“Saya terima sebab optimistik dan kalau nak kata profesional nanti ‘klise’ sangat,” jawabnya yang sentiasa ceria dan manis.

Iklan itu bagaikan suatu petanda atau ‘hint’ yang mengatakan mungkin mereka akan mendirikan rumah tangga dan Scha sendiri tidak menafikan atau mengiyakan dakwaan itu.

“Saya dan dia memang tengah memikirkan untuk ke arah itu cuma kita belum tahu bila masanya.

“Tapi kami tak rancang untuk berkahwin dan semuanya bergantung kepada jodoh kerana kami baru kenal lebih kurang setahun,” luah Scha yang turut mengangguk apabila diusik Fahrin adalah ‘Mr. Right’ bagi dirinya.

Sambil tersenyum comel Scha berkata, “Sekarang, kami sedang sibuk mencari duit untuk kahwin dan ikutkan dulu saya pernah sasar untuk berkahwin sebelum usia 28 tahun.

“Mak saya juga berpesan untuk mencari duit sebelum berkahwin dan saya pun fikir untuk stabilkan kewangan dulu.

“Kami hanya mengharapkan yang terbaik dan sedang berusaha sebelum mendirikan rumah tangga.”

Scha ditegur Rosyam kerana lambat

Semalam, Scha yang terlewat hadir ke majlis pelancaran filem ‘Libas’ yang turut dilakonkan oleh Rosyam Nor telah ditegur secara baik oleh pelakon, pengacara dan produser popular itu.

Bagi Rosyam, sebagai artis baru Scha tidak sepatutnya terlewat lebih-lebih lagi majlis itu diadakan secara besar-besaran dan melibatkan VIP dan tetamu lain.

Antara tetamu yang hadir adalah Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia, Datuk Wong Kam Hoong, pelakon tersohor Tan Sri Jins Shamsudin, produser Ahmad Puad Onah, produser dan pengarah urusan MDAG Marketing Sdn. Bhd., Mohamed Azlan Ghazali serta produser dan pengarah Datuk Yusof Haslam.

Namun, menurut Scha, dia sudah memaklumkan kepada produser filem itu, Mohamed Azlan tentang kelewatannya kerana terlibat dengan sesi fotografi untuk drama bersiri ‘Awan Dania’ musim kedua yang tidak dapat dielakkan.

“Saya dah minta maaf dengan Abang Rosyam kerana memang salah saya dan dia kata tak boleh buat macam ni.

“Saya akan jaga dan tidak mahu hal seperti ini berlaku lagi kerana rasa tak seronok.

“Susah juga hendak mengatur jadual sebab semuanya saya lakukan sendiri dan hanya mengikut apa yang ditentukan.

“Biarpun begitu, saya tak terfikir untuk mengambil pengurus dan lebih suka mengurus secara sendiri kerana saya bukan jenis percaya pada orang,” ujarnya yang hanya mempunyai seorang pembantu peribadi.

Guna pakai idea Rosyam

Bercerita mengenai pengalamannya ketika bekerja dengan Rosyam menerusi filem ‘Libas’ arahan Jurey Latiff Rosli, gadis berasal dari Sungai Petani, Kedah ini berkata Rosyam banyak memberi tunjuk ajar kepadanya agar dia setaraf dengan pelakon itu.

“Saya tak pernah terlintas untuk berlakon dengan Abang Rosyam sebelum ini kerana dia selalunya digandingkan dengan pelakon lama seperti Umie Aida.

“Saya juga takut tak boleh sampaikan apa yang diinginkan tetapi dia tak lokek untuk mengajar saya.

“Kebanyakan idea yang diberi boleh diguna pakai,” tutur Scha yang sedang menjalani pengambaran drama ‘Awan Dania 2’ sebanyak 26 episod dan dikhabarkan memasukkan pelakon baru seperti Fizow Omar, Jehan Miskin dan Zizan Nin.

Scha juga terlibat dengan pengacaraan seperti mempromosikan saluran baru di Astro Mustika, mengacara program ‘Nak Duit Raya’ di TV9 bersama dengan Bell Ngasri dan ‘Santai Aidilfitri’ di saluran yang sama.

Artikel Sebelum

Zul ganti tempat Ustaz Asri

Artikel Berikut

Artikel Lain