Shopee Sasarkan Lebih AS$5 Bilion GMV Tahun Ini - Niaga | mStar

Shopee Sasarkan Lebih AS$5 Bilion GMV Tahun Ini

Diterbitkan: Selasa, 16 Januari 2018 5:28 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan menyasarkan lebih AS$5 bilion (AS$1=RM3.96) dalam nilai barang dagangan kasar (GMV) tahun ini.

Pengarah Urusan Serantau, Ian Ho berkata, pasaran dalam talian itu mencatat  AS$5 bilion dalam GMV di Singapura, Malaysia, Thailand, Taiwan, Indonesia, Vietnam dan Filipina pada 2017.

"GMV tahunan Shopee telah melepasi AS$5 bilion dan kami merancang untuk berkembang secepat mungkin pada 2018," katanya kepada pemberita pada majlis makan tengah hari sempena Tahun Baharu Cina di sini, Selasa.

Ho juga berkata, Shopee merancang untuk memanfaatkan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) Malaysia di mana syarikat itu telah mengadakan perbincangan dengan sektor pasca penerbangan dan pihak berkuasa kastam.

"Shopee mempunyai asas penjual yang besar di Malaysia dan merancang  menyebar luas barang dagangannya ke negara lain di rantau ini.

"Kami telah melatih ramai penjual yang baik dan mereka boleh menggunakan DFTZ untuk mengimport barang dagangan mereka ke pasaran lain, kerana terdapat unsur gudang dan penjimatan cukai," katanya.

Pada majlis makan tengah hari hari ini, Shopee mengumumkan Kempen 'Wang dengan Shopee'  sempena Tahun Baru Cina dengan hadiah bernilai lebih RM1 juta untuk dimenangi.

Ia adalah pesta  beli-belah selama enam minggu mulai 15 Januari hingga 25 Februari dan sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, Shopee akan memperkenalkan 'Fortune Ang Pao Game' kepada pengguna yang mengambil bahagian.

Ho berkata, pengguna boleh terlibat dalam permainan itu untuk  memenangi duit syiling Shopee, baucar dan lebih 20,000 Tiket Emas setiap hari.

"Setiap Tiket Emas melayakkan pengguna untuk memenangi cabutan bertuah dengan hadiah, termasuk bar emas bernilai lebih RM500 setiap satu, hadiah wang tunai mingguan RM1,500 dan hadiah utama sebanyak RM8,888," katanya.

Pada masa ini Shopee mempunyai 200,000 penjual dan memperoleh lima juta muat turun aplikasi, menjadikannya aplikasi membeli-belah dalam talian nombor satu yang dimuat turun di Android dan iOS.-- Bernama

Tags / Kata Kunci: Shopee

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan