suria

SIX Perkukuh Budaya Inovasi

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (enam, kiri) bergambar bersama penerima-penerima Anugerah Global Blue Ocean Shift pada Majlis Perasmian 'Global Entrepreneurship Community Summit 2017' di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Selasa. Turut menerima anugerah ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (lima, kiri) dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (lima, kanan).

KUALA  LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan ‘Social Impact Exchange' (SIX) pembayaran berasaskan impak untuk memperkukuhkan lagi budaya inovasi di negara ini.

Beliau berkata SIX merupakan pembayaran berasaskan impak atau ‘pay-for-impact' pertama bagi Malaysia untuk menyalurkan sumber korporat yang belum diteroka kepada organisasi tujuan sosial (SPO) yang berprestasi tinggi.

Najib berkata platform berkenaan direka  untuk seiring dengan bursa saham tradisional dan akan menjadi tumpuan untuk membiayai SPO dan projek yang membabitkan mereka.

"Inisiatif ini akan dilaksanakan secara bersama oleh Agensi Inovasi Malaysia dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), di bawah skop Strategi  Lautan Biru Kebangsaan (NBOS)," katanya pada majlis perasmian Sidang Kemuncak Komuniti Keusahawanan Global 2017 di sini, Selasa.

Pada majlis itu, Najib juga mengumumkan penempatan Makmal Inovatif Teknologi Pertubuhan Bangsa-bangsa yang pertama di Asia Tenggara di Futurise Centre.Beliau berkata pusat yang dicadangkan itu, yang diumumkan dalam Bajet 2018, juga akan menempatkan stesen radio internet keusahawanan pertama di rantau ini, eFM, yang akan dipacu oleh Gerakan Keusahawanan Global (GEM).

Najib berkata ini seiring dengan aspirasi untuk mewujudkan pusat yang disasarkan dapat merangsang dan mempercepatkan inovasi, pembinaan kapasiti dan pengkomersilan produk serta penemuan masa depan.

"Pusat ini, yang diterajui oleh Cyberview dengan MaGIC sebagai rakan strategiknya, akan membawa kerajaan, korporat, ahli akademik dan usahawan bersama-sama untuk menangani isu-isu mengenai teknologi masa depan seperti pembangunan bandar pintar, robotik dan kepintaran buatan," katanya.

Perdana Menteri berkata kedua-dua inisiatif itu merupakan sebahagian dari usaha kerajaan untuk menekankan pentingnya inovasi untuk pembangunan ekonomi masa depan negara.

"Kita kini  hidup dalam masa yang tidak menentu. Inovasi mengganggu pemikiran tradisional dan mengalih perkhidmatan dan produk ke tahap yang baru dan lebih kompetitif.

“Tetapi saya optimis mengenai masa depan kita dan peranan utama pengetahuan, sains dan keusahawanan," kata Najib, sambil menambah bahawa inovasi tidak semata-mata untuk syarikat pemula niaga dan sektor swasta tetapi juga  oleh semua orang.

"Inovasi mesti dilaksanakan untuk semua orang dan oleh semua orang," katanya.

Beliau berkata inovasi juga akan memainkan peranan penting dalam persediaan negara untuk kemunculan revolusi perindustrian keempat yang akan membawa pelbagai teknologi baru dan disruptif, yang memberi kesan kepada semua disiplin, ekonomi dan industri.

Sidang kemuncak dua hari yang bermula hari ini mengumpulkan lebih 15,000 usahawan antarabangsa dan tempatan dengan tujuan memangkin pertumbuhan dan perkembangan gerakan keusahawanan global.-- Bernama  



SIX, Najib

Artikel Berikut

AirAsia Menang Lagi

Artikel Lain