suria

Malaysia Menuju Gelombang E-Pembayaran

Tan Nyat Chuan

KUALA LUMPUR: Malaysia kini diambang gelombang baharu transformasi e-pembayaran, didorong oleh penembusan tinggi telefon mudah alih.

Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayaran Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Nyat Chuan, berkata pembayaran mudah alih berpotensi melengkapkan kad debit dalam usaha untuk menggantikan tunai.

“E-pembayaran merupakan kaedah yang berkos efektif kerana ia memudahkan pembayaran digital yang lancar bagi kira-kira 12 juta orang,” katanya pada sidang media sempena Pameran dan Forum Sistem Pembayaran 2017 di sini, Jumaat.

Pada masa ini terdapat 42.8 juta langganan telefon mudah alih, dengan 70 peratus  membabitkan telefon pintar, dalam kalangan 32.1 juta penduduk di Malaysia.

Tan juga berkata BNM akan menjalankan kajian bersama Bank Dunia tahun depan bagi menunjukkan kos yang tinggi menggunakan tunai sebagai satu instrumen.

“Pada masa ini kos penggunaan cek hanya kira-kira RM6.80 bagi perniagaan,” katanya.

Ditanya mengenai mata wang kripto seperti Bitcoin sebagai instrumen, Tan berkata pengguna dan perniagaan wajar menyedari risiko terlibat dalam urusan dengan Bitcoin kerana ia tidak dilindungi oleh bank pusat.

“Ia merupakan satu cabaran di seluruh dunia bagi pengawal selia untuk membentuk kawal aturan lengkap disebabkan ia tidak diterbitkan oleh mana-mana organisasi secara khusus.

“Tidak seperti terbitan e-wang dan perkhidmatan bank,  kami menyediakan pengawasan, kami menetapkan langkah-langkah perlindungan pengguna. Bitcoin tidak memperoleh jaminan daripada kami,” katanya.

Gabenor  BNM Tan Sri Muhammad Ibrahim sebelum itu mengumumkan berkuat kuasa 1 Julai 2018, yuran pemindahan segera sebanyak 50 sen akan dimansuhkan bagi transaksi sehingga RM5,000.

Ini selari dengan usaha bank pusat untuk merealisasi ekonomi digital.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain