suria

MIDF Akan Terus Bantu PKS Hadapi Industri 4.0

Datuk Chua Tee Yong

SEBERANG JAYA: Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) akan terus membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menghadapi gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) dengan meluluskan sejumlah RM2.1 bilion di bawah Skim Pinjaman Mudah bagi Automasi dan Modenisasi (SLSAM).

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong berkata Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sejumlah RM1.1 bilion untuk SLSAM setakat ini manakala RM450 juta akan ditawarkan bagi tempoh antara 2018 hingga 2020.

"Setakat ini, MIDF telah meluluskan RM2.1 bilion di bawah SLSAM yang memberi manfaat kepada 569 syarikat di seluruh Malaysia," katanya selepas merasmikan Seminar Mengenai Insentif Automasi di bawah Bajet 2018 di sini, Isnin.

Mengulas selanjutnya, Chua berkata MIDF akan terus menyokong syarikat-syarikat tempatan dalam usaha mengharungi persaingan menerusi penawaran pelbagai pakej bantuan kewangan, termasuk menguruskan skim pinjaman mudah berjumlah RM2.4 bilion ketika ini.

“Pinjaman itu akan menjadikan mereka lebih inovatif dan melaksanakan kecekapan kos dalam aktiviti pengeluaran dan perkhidmatan penghantaran sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 itu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut meletakkan MIDF untuk memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan dan membantu lebih banyak syarikat-syarikat tempatan terutamanya PKS melaksanakan usaha automasi serta bersedia ke arah Industri 4.0 agar relevan dalam tempoh 5-10 tahun dalam kepesatan perubahan ekonomi global.

"Pasaran domestik Malaysia telah menjadi terlalu kecil untuk perdagangan syarikat-syarikat tempatan dan keupayaan untuk bersedia melakukan eksport sememangnya amat penting untuk mereka.

"Sehubungan itu, saya menggesa syarikat-syarikat tempatan untuk lebih proaktif dalam meningkatkan produktiviti menerusi pelaksanaan automasi serta meneroka pasaran eksport secara lebih agresif," katanya.

Chua turut menyifatkan pengumuman Bajet 2018 baru-baru ini sebagai amat penting kepada masyarakat perniagaan kerana membabitkan sokongan kepada semua sektor, khususnya PKS dengan jumlah peruntukan bagi segmen itu mencecah RM22.2 bilion.

Malah, di peringkat global, beberapa sektor semakin agresif ke arah Industri 4.0 seperti eletrikal  and  elektronik, automotif, pembuatan industri, bahan kimia, logistik dan kejuruteraan serta pembinaan dengan jumlah pelaburan dianggarkan mencecah US$907 bilion sehingga 2020.

"Kerajaan melaksanakan usaha dengan menawarkan pelbagai insentif untuk melonjakkan industri tempatan, termasuk PKS bagi mencapai tahap Industri 4.0 serta bersedia bagi pasaran global yang lebih sengit," katanya.

MIDF yang merupakan institusi pembangunan kewangan utama di negara ini, telah membantu sebanyak 10,624 syarikat tempatan dengan meluluskan pinjaman berjumlah RM13.9 bilion sejak penubuhanya pada 1960.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain