suria

Deftech Bina Bas Elektrik Pertama

KUALA LUMPUR:DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftech) diberi kepercayaan untuk membina dan menyeleggara kenderaan elektrik (EV) dengan pengecasan pantas (SQC) yang pertama Malaysia, dikenali sebagai bas Putra Nedo EV.

Deftech, yang merupakan sebuah anak syarikat milik penuh DRB-Hicom Bhd telah dipertanggungjawabkan untuk membina 11 buah bas EV SQC.

Projek SQC ini merupakan sebahagian daripada pemindahan teknologi melalui perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dan Jepun.  Memorandum persefahaman mengenai perkara itu telah ditandatangani antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Pertubuhan Pembangunan Tenaga Baharu dan Teknologi Industri Jepun (Nedo).

"Sejumlah lapan bas Putra Nedo EV yang dibekalkan kepada PPj sudah memulakan operasi, manakala baki tiga lagi akan dihantar pada 2018," kata DRB-Hicom dan Deftech dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.

Bas Putra Nedo EV dikendalikan oleh Pengangkutan Awam Putrajaya Travel and Tours Sdn Bhd (Nadiputra), sebuah subsidiari milik penuh PPj, sebagai sebahagian daripada armada kenderaan syarikat itu yang memberi perkhidmatan di kawasan Putrajaya.

Nedo dimajukan oleh konsortium Jepun yang terdiri daripada Toshiba Infrastructure System and Solutions Corp, PUES Corp, Hasetec Corp dan Oriental Consultants Global Company Ltd.

Deftech dijangka menjadi hab serantau bagi pengeluaran bas EV SQC dalam perkembangan masa depan.  Bas EV SQC menggunakan teknologi yang berbeza berbanding dengan lain-lain bas EV yang terdapat di Malaysia, dan mungkin di rantau Asean.

Sistem SQC hanya memerlukan pengecasan selama 10 minit bagi setiap perjalanan (purata 30 kilometer) melalui alat pantograf yang dipasang di atas bumbung bas.

Bas-bas EV lain biasanya memerlukan pengecasan semalaman (dianggarkan selama 6-8 jam) untuk beroperasi secara optimum.

Mendapat sokongan penuh daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta Jabatan Pengangkutan Jalan, projek bas EV SQC ini menjadi langkah pertama bagi membangunkan Putrajaya sebagai sebuah bandar hijau.-- Bernama


Deftech, SQC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain