suria

RSPO Pastikan Kerjasama Dengan Rakan Inklusif

KUALA LUMPUR: Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) akan terus bekerjasama dengan rakan-rakannya terutamanya di rantau yang sedang membangun dan pesat membangun bagi memastikan kerjasama itu lebih inklusif.

Langkah itu untuk memastikan setiap suara, terutamanya daripada komuniti yang terjejas, didengar dan diambil kira, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Darrel Webber.

Beliau juga berkata pertubuhan bukan berasaskan keuntungan akan memastikan amalan dan standard yang terbaik dicapai dan memberi manfaat kepada semua pihak.

"Semasa kami mengkaji semula Prinsip dan Kriteria (P and C) kami, kami perlu mengambil kira perspektif dan kemungkinan yang berbeza, pasaran yang pelbagai dan kumpulan pihak berkepentingan, terutamanya yang kurang bernasib baik," katanya pada taklimat media mengenai RSPO melalui telepersidangan di sini.

Webber, yang melancarkan Mesyuarat Meja Bulat Tahunan Ke-15 RSPO awal hari ini, berkata proses tersebut perlu memperkasakan pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu tempatan yang berfungsi dalam rangka kerja antarabangsa.

Persidangan selama dua hari itu, yang bermula hari ini di Bali, Indonesia, bertemakan 'Inclusivity and Accountability', mencerminkan komitmen RSPO untuk menggalakkan kerjasama dan ketelusan yang lebih baik dalam kalangan senarai pihak berkepentingan yang semakin berkembang.

Webber berkata sejajar dengan tema persidangan, terdapat beberapa pencapaian iaitu sehingga pada 30 Jun, 2017, RSPO telah mengenal pasti dan menguruskan 189,777 hektar kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), meningkat 21 peratus berbanding 21 Jun, 2016.

Beliau berkata rantau Asia Pasifik turut menyaksikan peningkatan yang ketara dalam kawasan HCV yang dikenal pasti, dengan Malaysia mencatatkan kenaikan sebanyak 8,399 hektar, disokong oleh peningkatan sebanyak 5,864 hektar di seluruh rantau kecuali Indonesia.

"Kita telah mencatat kemajuan yang ketara dengan perladangan yang diperakui RSPO meliputi sejumlah 3.2 juta hektar di 16 negara.

"Sementara itu, keanggotaan RSPO semakin meningkat di seluruh dunia, dengan China dan Amerika Utara, masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 40 peratus dan 62 peratus," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain