BPKU Pastikan Kontraktor Bumiputera Mempunyai Pengetahuan - Niaga | mStar

BPKU Pastikan Kontraktor Bumiputera Mempunyai Pengetahuan

Diterbitkan: Jumaat, 24 November 2017 3:20 PM

Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Foto M. AZHAR ARIF / THE STAR
(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU), Kementerian Kerja Raya yang bertanggungjawab ke atas pembangunan kontraktor bumiputera, sentiasa menjalankan usaha bagi memastikan para kontraktor bumiputera mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk bersaing dalam bidang binaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata selain latihan praktikal dan khidmat masyarakat, BPKU turut melaksanakan lain-lain siri program pembangunan seperti kursus pengurusan am, kursus pengurusan pembinaan dan juga kursus teknikal.

"Kesemua ini adalah bertujuan memaksimumkan impak program terhadap masyarakat setempat dan para kontraktor dididik meningkatkan kompetensi secara berterusan, tanpa melupakan penerapan nilai-nilai dalam diri usahawan bumiputera tempatan.

"Menyedari hakikat bahawa pengetahuan teknikal semata-mata tidak menjamin para kontraktor bumiputera menyiapkan projek binaan, tanpa modal pusingan yang mencukupi, Kementerian Kerja Raya melalui BPKU turut menyediakan bantuan pembiayaan wang pendahuluan projek dalam bentuk pinjaman yang dikenali sebagai Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK)," katanya pada majlis perasmian penutup program Latihan Praktikal dan Khidmat Masyarakat: Baik pulih dan Menaik taraf Surau Al-Faizin, Sekolah Kebangsaan Wawasan, Seremban 2 di sini, Jumaat.

Katanya pinjaman ini diberikan kepada kontraktor G1-G5 yang telah mendapat projek persekutuan yang dipantau oleh Jabatan Kerja Raya.

Rosnah berkata sehingga Oktober lepas, tiga kontraktor bumiputera di Negeri Sembilan dianugerahkan pinjaman SKWAK dengan nilai pinjaman sebanyak RM1.8 juta.

"Ini bermakna kerajaan sentiasa komited dalam pelaksanaan agenda pembangunan bumiputera," katanya.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut perancangan, mulai 1 Sept lepas BPKU akan menjadi urus setia bersama di dalam Jawatankuasa Saringan Kontraktor Penyiap (JSKP) yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang menggantikan Jawatankuasa Projek Sakit di setiap kementerian berdasarkan PK 4.5: Tatacara Pengurusan Projek Sakit dan Pelantikan Kontraktor Penyiap bagi Projek Sakit.

Katanya urusetia JSKP berperanan dan bertanggungjawab untuk membuat saringan ke atas senarai kontraktor penyiap, mengemas kini senarai nama kontraktor penyiap setiap bulan, menyediakan senarai pendek kontraktor penyiap berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan untuk disahkan dalam mesyuarat JSKP apabila diminta oleh kementerian serta memantau prestasi kontraktor penyiap yang telah dilantik.

"Oleh itu, para kontraktor bumiputera disaran meningkatkan kemahiran dalam mengurus projek kerajaan di samping merebut peluang untuk disenarai pendek sebagai kontraktor penyiap," katanya.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan