Permohonan Warga Kota Beli Rumah Projek Rumawip Melebihi Tawaran - Niaga | mStar

Permohonan Warga Kota Beli Rumah Projek Rumawip Melebihi Tawaran

Diterbitkan: Khamis, 23 November 2017 2:08 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) yang dipelopori Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menerima sebanyak 170,095 permohonan berbanding dengan hanya 44,064 unit rumah yang ditawarkan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata permohonan tinggi oleh warga kota menunjukkan dasar itu berjaya membantu menampung kehendak rakyat yang ingin memiliki rumah mampu milik.

”Oleh yang demikian, kementerian ini akan meneruskan usaha bagi menyediakan perumahan mampu milik dalam membantu mengurangkan beban kos hidup rakyat terutamanya di Wilayah Persekutuan,” katanya menjawab soalan Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Rumawip memberi tumpuan kepada golongan berpendapatan sedehana dan rendah yang menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan dengan tawaran rumah harga sederhana rendah antara RM63,000 dan RM150,000 manakala rumah harga sederhana antara  RM150,000 dan RM300,000.

Syarat pemohonan adalah bagi pemohon bujang pendapatan tidak melebihi RM10,000 sebulan manakala bagi yang telah berkahwin gaji tidak melebihi RM15,000 sebulan.

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan