suria

Contohi Kerjasama DRB-Hicom, Geely Secara Proaktif

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar berjabat tangan dengan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Zhejiang Geely Holding, Daniel Donghui Li pada sidang media bersama baru-baru ini.

SERDANG: Industri automotif  Malaysia harus melihat secara proaktif perkembangan kerjasama strategik antara DRB-Hicom Bhd dan syarikat China, Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd, dalam  pemilikan Proton Holdings Bhd antaranya dalam usaha meningkatkan pemasaran kereta nasional ke peringkat antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pemain automotif utama di negara ini juga perlu belajar bagaimana industri automotif China menjadi pengeluar  automotif yang pantas berkembang di seluruh dunia, menjadi antara lima pengeluar utama kenderaan dunia selain Jepun, Korea, India dan Amerika Syarikat.

Walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi dunia, beliau berkata, China dapat mengeluarkan lebih dua juta unit kenderaan penumpang pada tahun ini.

Ahmad Zahid berkata beliau yakin perkongsian strategik antara DRB-HICOM dan Geely Holding adalah satu era baharu kepada Proton untuk terus berkembang sebagai jenama kereta nasional yang unggul untuk pasaran domestik dan luar negara.

"Seperti pendekatan industri automotif China, sudah pasti Proton mendapat akses kepada  pelbagai platform serta enjin yang dibangunkan oleh Geely Holding selain peluang menembusi pasaran sedia ada termasuk di Asia Tenggara," katanya ketika merasmikan Malaysia Autoshow 2017 anjuran Institut Automotif  Malaysia (MAI) di sini, Khamis.

Beliau berkata industri automotif negara seperti China, mementingkan akses pasaran bagi memastikan kereta yang dikeluarkan boleh dipasarkan ke seluruh dunia, serta pembentukan pakej rangsangan fiskal yang merangsangkan permintaaan tempatan untuk kenderaan walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu.

Pada Mei tahun ini, DRB-Hicom menjual 49.9 peratus pegangannya dalam syarikat kereta nasional, Proton, kepada Geely Holding. DRB-Hicom masih kekal sebagai pemegang saham ekuiti terbesar iaitu sebanyak 50.1 peratus dalam Proton.

Mengenai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), Ahmad Zahid berkata selaras dengan Dasar Automotif Negara (NAP) 2014, Malaysia tidak pernah ketinggalan dalam kadar penyerapan kenderaan EEV dalam pasaran yang dijangka mencecah 50 peratus menjelang akhir tahun ini.

"Dalam penggunaan tenaga hijau, negara tidak terlepas daripada melaksanakan Protokol Kyoto untuk mengurangkan kadar pengeluaran karbon di negara kita. Pengeluaran kenderaan EEV adalah satu daripada usaha kita untuk memberi sumbangan kepada alam sekitar," katanya.

Ahmad Zahid berkata NAP 2014 menyasarkan Malaysia sebagai hab serantau kenderaan EEV menjelang tahun 2020 dan beliau berbangga apabila jenama-jenama antarabangsa yang beroperasi di negara ini turut menyokong aspirasi tersebut.

Bertemakan "Smart, Safe and Sustainable Mobility" Malaysia Autoshow 2017 adalah yang terbesar pernah dianjurkan oleh MAI dengan mengumpulkan sebanyak 170 pempamer dalam kawasan seluas 42,000 meter persegi dan menyasarkan 250,000 pengunjung.-- Bernama

DRB-Hicom, Geely

Artikel Berikut

Yuya Masuk Hong Kong

Artikel Lain