suria

Potensi Hebat Untuk Produk Halal Di Amerika Latin

KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya untuk Malaysia menembusi pasar halal di Amerika Latin, dengan menjadikan Chile sebagai hab, berikutan permintaan tinggi ke atas produk halal, kata Duta Besar Malaysia ke Chile, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya.

Berdasarkan kestabilan ekonomi dan politik, Chile merupakan platform terbaik untuk mempromosikan produk halal di rantau itu, katanya.

“Kewangan Islam juga merupakan antara sistem halal yang boleh ditawarkan kepada Amerika Latin. Malaysia gembira dapat berkongsi kepakaran dalam bidang berkenaan.

"Memandangkan halal adalah untuk semua, sudah menjadi tanggungjawab kami sebagai umat Islam untuk menjadikan produk dan perkhidmatan halal tersedia untuk semua manusia, sekali gus menjadikan halal sebagai perniagaan global," katanya ketika merasmikan Ekspo Halal Latino Americana ke-6 di Intercontinental Hotel, Santiago, Chile pada Isnin.

Teks ucapannya disediakan kepada Bernama pada Selasa.

Kedutaan Malaysia di Santiago bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut mengambil bahagian pada acara itu dengan mengetengahkan produk Malaysia selain menyebarkan maklumat mengenai isu halal kepada rakyat Chile supaya mereka selok-belok sebenar gaya hidup halal.

Ekspo ini dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia dengan organisasi Chile Halal dari 6 hingga 8 Nov yang menyaksikan penyertaan lebih daripada 200 individu dan syarikat.

Mohamad Rameez berkata Malaysia memulakan industri halal globalnya pada 1974 apabila Pusat Penyelidikan di Bahagian Hal Ehwal Islam di Pejabat Perdana Menteri mula mengeluarkan surat perakuan halal untuk produk yang memenuhi kriteria halal.

Usaha mempromosikan halal di peringkat antarabangsa diteruskan dengan memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Industri Halal 2008-2020 yang bertujuan untuk memacu halal sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, katanya.

Beliau berkata Pelan Induk itu dibahagikan kepada tiga fasa, dengan fasa pertama menjadikan Malaysia sebagai peneraju  global dalam integriti halal menerusi proses pensijilan yang ditambah baik dan penubuhan Pusat Sokongan Halal Global.

Fasa kedua pula menjadikan Malaysia sebagai lokasi  pilihan bagi perniagaan berkaitan halal menerusi pembangunan pangkalan pengetahuan global dan pengiktirafan jenama global.

“Fasa terakhir pula melibatkan usaha untuk memperluas jejak syarikat-syarikat Malaysia dalam  pasaran antarabangsa, dan kini  kami di fasa akhir,” katanya.

Beliau berkata setiap tahun Malaysia menganjurkan Pameran Antarabangsa Halal Malaysia (MIHAS) dan persidangan halal untuk mempromosikan halal di peringkat global," katanya.

Mohamad Rameez berkata ekonomi halal global kini bernilai kira-kira US$2 trilion.

"Pada 2030, jumlah penduduk Islam dijangkakan meningkat kepada kira-kira 27 peratus daripada penduduk dunia, yang akan memberi prospek besar ke atas  industri halal," katanya.

Laporan Ekonomi Islam Global 2015 hingga 2016 mengunjurkan pasaran halal dan gaya hidup antarabangsa bernilai US$3.7 trilion menjelang 2019, katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain