suria

Operasi DFTZ Langkah Penting Malaysia Ke Dunia Ekonomi Digital

KUALA LUMPUR: Langkah penting Malaysia ke dalam dunia ekonomi digital akan menjadi kenyataan apabila zon perdagangan bebas digital (DFTZ) mula beroperasi esok.

Inisiatif berkenaan yang dikatakan DFTZ pertama dunia di luar China, telah dilancar oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma pada 22 Mac 2017.

DFTZ kini bersedia untuk beroperasi dengan pelancaran operasi logistik dan Najib akan memulakan perjalanan eksport  lebih 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia di majlis yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang esok.

Antara lain, DFTZ akan menyediakan zon fizikal dan maya bagi membantu PKS memanfaatkan penumpuan pertumbuhan eksponen ekonomi Internet dan aktiviti e-dagang merentas sempadan.

Zon berkenaan akan merangkumi hab e-pemenuhan, hab perkhidmatan satelit dan platform e-perkhidmatan bagi merangsang pertumbuhan dalam perdagangan elektronik yang juga akan berfungsi untuk menyokong syarikat Internet  berdagang barangan, menyedia perkhidmatan, menginovasi dan mewujudkan penyelesaian.

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi utama dalam memacu ekonomi digital Malaysia, yakin DFTZ akan meningkatkan pelan induk e-dagang Malaysia yang diperkenal pada 2016, yang bertujuan menggandakan pertumbuhan e-dagang negara dan meningkatkan sumbangan keluaran dalam negara kasar kepada RM211 bilion menjelang 2020.

Najib dilaporkan berkata yang DFTZ dan Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP), satu lagi idea Jack Ma, mempunyai matlamat yang sama.

“Kami mahu membantu PKS menangani peraturan, proses dan halangan rumit dan seterusnya menggalak perniagaan dan peniaga untuk berhubung dan bekerjasama melalui perdagangan rentas sempadan," katanya.

Banyak tumpuan telah diberi kepada industri baharu ini, yang dipercayai dapat memberi sumbangan besar kepada ekonomi.

Berikutan itu, Najib dalam Bajet 2018 baru-baru ini telah mengumumkan yang fasa pertama DFTZ akan menyaksikan pembabitan kira-kira 1,500 PKS dan ia dijangka menarik pelaburan RM700 juta dan mewujudkan 2,500 pekerjaan.  Tetapi difahamkan jumlah PKS yang terbabit telah meningkat kepada 2,000 baru-baru ini, dengan itu melepasi sasaran awal.

Kerajaan, melalui pembentangan bajet itu turut mengumumkan peruntukan RM83.5 juta bagi pembinaan infrastruktur untuk fasa pertama DFTZ di Aeropolis, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bagi mewujudkan gerbang bagi e-dagang.

Setakat ini, empat memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani pada Mac ke arah penambahbaikan e-dagang.

MoU pertama adalah antara MDEC dan Alibaba Group bagi kerjasama strategik dalam pembangunan DFTZ di Malaysia, hab serantau untuk perniagaan e-dagang, pemudahan perdagangan, perkhidmatan awan untuk perusahaan serta e-pemenuhan dan hab logistik.

MoU kedua adalah antara Malaysia Airports Holdings Bhd dan Cainiao Network bagi pembangunan hab e-dagang dan logistik serantau di Aeropolis KLIA sebagai sebahagian daripada inisiatif DFTZ.

Sementara itu, Alipay, iaitu platform mudah alih pihak ketiga dan pembayaran dalam talian, telah menandatangani MoU dengan Malayan Banking dan CIMB untuk melancarkan pembayaran kod bar di Malaysia.

Kerjasama ini akan membolehkan pelancung tanah besar China membuat pembayaran dengan menggunakan kaedah pembayaran kegemaran mereka, iaitu e-dompet Alipay.

MoU keempat adalah antara MDEC dan Catcha Group untuk kerjasama bagi penubuhan Bandaraya Internet Kuala Lumpur. Pengembangan DFTZ melepasi 2019 kini dirancang.-- Bernama

DFTZ, Jack Ma

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Butik Pertama Reebonz Di KL

Artikel Lain