E-Dagang Malaysia Tumbuh 47 Peratus - Niaga | mStar

E-Dagang Malaysia Tumbuh 47 Peratus

Diterbitkan: Selasa, 31 Oktober 2017 3:02 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sektor e-dagang Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 47 peratus sejak 2015 dan nilainya kini mencecah US$2.41 bilion (US$1=RM4.23), kata Pengurus Negara Facebook bagi Malaysia, Nicole Tan.

Beliau berkata secara purata, rakyat Malaysia menghabiskan selama 187 minit sehari menggunakan telefon mudah alih masing-masing yang sepatutnya dimanfaatkan perniagaan sebagai peluang bagi melaksanakan strategi e-dagang yang tepat untuk tujuan promosi produk dan perkhidmatan mereka.

“Seiring dengan kedudukan Asia Tenggara yang dilabelkan sebagai sempadan baharu e-dagang, amat penting bagi perniagaan berasaskan produk pengguna untuk melaksanakan strategi serba tepat bagi jenama masing-masing," katanya pada majlis pelancaran kempen Discover Growth Facebook di sini, hari ini.

Kempen laman media sosial itu bertujuan membantu perniagaan merebut peluang pertumbuhan menerusi kempen pengiklanan perniagaan-kepada-perniagaan global.

"Facebook di Malaysia sedia bekerjasama dengan perniagaan besar mahu pun kecil. Bagi kami, e-dagang merupakan peluang yang amat lumayan untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Jelas Tan, walaupun e-dagang menyumbang jualan kurang 1.0 peratus  di Asia Tenggara, namun sektor itu diunjur berkembang sehingga 10 kali ganda menjelang 2020, sekali gus mewujudkan peluang serta cabaran bagi industri produk pengguna.

Facebook turut mendedahkan, data beli-belah musim cuti terbaharu menunjukkan aktiviti itu bermula seawal bulan Oktober yang menyaksikan peningkatan pembelian secara dalam  talian sehari melebihi 18 peratus berbanding pada waktu-waktu biasa.

Kira-kira 88 peratus pembelian dalam talian itu dicatatkan pada suku keempat 2016 berbanding tempoh lain manakala tarikh kemuncak hari beli-belah terbesar berlaku pada 11 November.

Malah, pembelian musim cuti turut berlanjutan sehingga Januari dengan pembelian harian melebihi 36 peratus dilakukan menerusi Facebook.  Setakat ini, bilangan pengguna Facebook di Malaysia mencecah 21 juta orang. 

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan