suria

Malaysia Airlines Pindah Pusat Data Ke Awan

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines telah berjaya melaksanakan satu transformasi yang pertama dalam industri apabila secara besar-besaran telah memindahkan pusat datanya kepada 100 peratus model awan-hibrid.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, infrastruktur pusat data dan pelbagai aplikasi lain telah dipindahkan kepada model hibrid-awan yang dibahagikan antara 80 peratus Microsoft Azure dan 20 peratus teknologi awan swasta melalui kerjasama sebuah firma peneraju perkhidmatan IT, perniagaan dan perundingan antarabangsa, Tata Consultancy Services.

"Langkah perintis itu telah menjadikan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan yang pertama di dunia yang telah mennggantikan pusat datanya kepada penyelesaian awan berskala besar untuk 200 aplikasi kritikal membabitkan sistem komersial, operasi dan korporat," katanya.

Ketua Pegawai Maklumat, Tan Kok Meng, berkata Malaysia Airlines dan TCS telah mencipta penyelesaian yang membantu meletakkan syarikat penerbangan itu sebagai peneraju dalam keupayaan digital yang akhirnya akan memberikan pengalaman yang lebih baik kepada pelanggan.

"Model berasaskan awan ini telah memberikan hasil yang cemerlang, termasuk jangkaan pengurangan kos sebanyak 51 peratus dalam tempoh lima tahun dari pertengahan 2016, termasuk peningkatan produktiviti aplikasi teras sehingga 80 peratus, tempoh perjalanan aplikasi dipercepatkan daripada hari sehingga beberapa jam sahaja dalam sesetengah kes, keupayaan keselamatan, pematuhan dan pelaporan yang ditingkatkan," katanya.

Sebagai rakan kongsi perkhidmatan yang utama, TCS bekerjasama dengan Microsoft, SAP dan beberapa vendor lain bagi memastikan fasa evolusi digital Malaysia Airlines bergerak lancar dan menjimatkan kos, pada masa yang sama, beroperasi tanpa mengganggu perjalanan perniagaan.

Skop projek berkenaan merangkumi membina semula platform aplikasi yang akan disesuaikan dengan teknologi awan dan perkhidmatan rangkaian yang diperuntukan bagi operasi penerbangan yang besar dan kompleks.-- Bernama 

Malaysia Airlines

Artikel Lain