suria

Keuntungan Sebelum Cukai Suku Ketiga Public Bank Meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Public Bank Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2017 meningkat sebanyak 15.1 peratus kepada RM1.79 bilion berbanding RM1.56 bilion pada suku sama, tahun lepas.

Perolehannya juga menokok kepada RM5.31 bilion berbanding RM5.03 bilion sebelum ini, kata bank itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurutnya, peningkatan keuntungan sebelum cukai itu dipacu terutamanya oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi, pendapatan bersih fi dan komisyen, pendapatan bersih pelaburan dan tukaran asing yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan perbelanjaan operasi.

Keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham meningkat sebanyak 13.5  peratus atau RM166.6 juta kepada RM1,404.8 juta.

Dari segi prestasi, segmen operasi runcitnya menyumbang kenaikan sebanyak 15.4 peratus atau RM127.4 juta kepada RM955.1 juta, kebanyakannya disebabkan oleh pendapatan faedah bersih lebih tinggi membabitkan purata pinjaman seimbang serta peningkatan pendapatan bersih fi dan komisyen.

Keuntungan sebelum cukai membabitkan pinjaman korporat pula menokok sebanyak RM16.5 juta (12.8 peratus) kepada RM144.9 juta, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pendapatan faedah bersih daripada purata pinjaman seimbang dan pendapatan fi.

Sementara itu, bagi operasi di luar negara, bank itu mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM16.9 juta (11.6 peratus) kepada RM162.4 juta, disumbang oleh pendapat faedah bersih dan pendapatan operasi lain yang sebahagiannya diimbangi oleh perbelanjaan operasi lain lebih tinggi dan pinjaman yang terjejas.

Bagi kemajuan masa depan, bank itu menjangkakan dapat mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dalam segmen peruncitan domestik yang dipacu oleh pertumbuhan berterusan gadaian rumah dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Bagi mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam pembiayaan PKS, kumpulan ini akan terus merebut peluang pasaran dengan menawarkan produk serta perkhidmatan bagi memenuhi permintaan PKS.

"Malah, PKS akan terus menikmati manfaat daripada pendekatan yang dijalankan serta pelaksanaan inisiatif utama kerajaan di bawah Program Transformasi Negara, Rancangan Malaysia Ke-11 dan Pelan Induk PKS," katanya.

Kumpulan itu juga akan mengekalkan pertumbuhan pembiayaan membabitkan segmen hartanah kediaman, menumpukan pasaran massa dan gadaian rumah serta pinjaman sewa beli, bekerjasama erat dengan AIA Bhd untuk memastikan produk-produk bankasurans kekal berdaya saing dan terus memanfaatkan peluang mengembangkan operasinya di luar negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain