suria

Gen Y, Z Perlu Pertimbang Pelbagai Pelaburan - KWSP

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia, terutama mereka yang berusia antara 16 hingga 35 tahun perlu mempertimbang untuk mempelbagaikan pelaburan serta simpanan mereka bagi mengelak mempunyai dana persaraan yang tidak mencukupi.

Menurut perangkaan yang diberikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),  64 peratus daripada anggotanya yang berusia 54 tahun, mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun persaraan mereka dan hanya bertahan selama empat tahun selepas persaraan pada kadar perbelanjaan RM950 sebulan.

(RM950 adalah kadar pencen minimum untuk sektor awam dan digunakan sebagai penanda aras oleh KWSP untuk membimbing anggotanya).

Berikutan situasi yang membimbangkan ini, KWSP menggesa Generasi Y (21-35 tahun) dan Generasi Z (16-20 tahun), yang merupakan lebih 50 peratus anggotanya, untuk mengkaji pelan persaraan mereka dan berikutan itu kumpulan berkenaan mempromosi secara agresif Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) bagi menasihat dan membantu melindungi simpanan mereka.

Penasihat RAS KWSP Petaling Jaya, Mogana Murugan berkata, sebahagian besar anggotanya mempunyai simpanan yang tidak cukup bagi mengekalkan gaya hidup selepas persaraan.

"Berdasarkan kuantum asas simpana yang dikeluarkan oleh KWSP, jumlah minimum dalam deposit asas adalah jumlah yang telah ditentukan mengikut umur dalam Akaun 1.

“Jumlah simpanan asas ditetapkan berdasar umur, di mana anggota perlu mempunyai sekurang-kurangnya RM228,000 (atau RM950 untuk perbelanjaan bulanan selama 20 tahun) dalam akaun KWSP mereka menjelang usia 55," katanya kepada media semasa taklimat mengenai RAS.

Menurutnya, hanya 21 peratus atau 2.9 juta anggotanya mempunyai simpanan asas yang cukup berdasarkan usia mereka, dan penyumbang digalak untuk mendapatkan perunding kewangan dalam mempertimbangkan pelbagai pelaburan dan tidak hanya bergantung kepada tabung pencen.

Mogana juga berkata, kebanyakan anggota berumur lebih 55 telah memilih pengeluaran sekali gus dan akan mengguna keseluruhan simpanan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

"Terdapat kes di mana individu itu membelanjakan semua simpanan mereka dan kemudiannya terpaksa hidup dalam kemiskinan," tambahnya.

Menurutnya, KWSP menawarkan pilihan lima pengeluaran untuk anggota berusia 55 dan ke atas, iaitu pengeluaran sekali gus, pengeluaran bulanan, pengeluaran sebahagian dan gabungan pengeluaran bulanan dan sebahagian atau pengeluaran dividen tahunan atau bulanan.

Pilihan terbabit bertujuan membantu penyumbang untuk merancang kewangan mereka dan mengekalkan gaya hidup selepas bersara.

Mogana berkata, pemilik perniagaan boleh menambah simpanan KWSP mereka secara sukarela manakala pekerja boleh memilih untuk meningkatkan kadar sumbangan mereka.

“Usaha tambahan penyumbang ini boleh mengelak mereka daripada menderita di kemudian hari kerana statistik menunjukkan 85 peratus rakyat Malaysia telah menyesal kerana tidak menyimpan untuk persaraan," katanya.-- Bernama 



KWSP, Mogana

Artikel Lain