KWSP, Uber Meterai MoU Simpanan Persaraan Pemandu - Niaga | mStar

KWSP, Uber Meterai MoU Simpanan Persaraan Pemandu

Diterbitkan: Khamis, 19 Oktober 2017 5:36 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Uber Malaysia bagi menggalakkan para pemandunya membuat tabungan dalam Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia (SP1M).

SP1M telah direka bagi membolehkan individu yang bekerja sendiri atau tanpa pendapatan bulanan yang tetap, seperti pemandu teksi, peniaga kecil, petani, suri rumah dan mereka yang bekerja dengan bebas, termasuk rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, membuat simpanan kepada dana persaraan yang diuruskan oleh KWSP.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, SP1M yang diperkenalkan pada 2010 merupakan respons kepada peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang bekerja secara bebas dan tidak mempunyai simpanan atau aset kewangan yang cukup untuk persaraan mereka.

"Kami sukacita apabila Uber berkongsi keprihatinan ini dan bersetuju untuk menjadi rakan kongsi kami.

"Uber juga telah bersetuju untuk bekerjasama bagi membantu mengadakan siri-siri  ceramah KWSP mengenai perancangan kewangan dan membenarkan kami untuk mempromosikan pelan persaraan bagi pemandu Uber," kata Shahril dalam satu kenyataan Khamis.

Pengurus Besar Uber Malaysia dan Singapura, Warren Tseng ketika mengulas mengenai perkara tersebut, berkata Uber teruja untuk menjadi rakan kongsi KWSP bagi membantu para pemandunya membuat pilihan yang lebih baik dalam pelan persaraan dan jaminan kewangan masa depan mereka.

"Pemandu kami telah memberi sumbangan yang besar kepada peningkatan dalam mobiliti dan penyambungan bandar, sekarang, kami mahu mereka menerajui persaraan mereka sendiri," katanya.

Di bawah skim SP1M, individu secara sukarela boleh menyumbang sekurang-kurangnya RM50 ke dalam akaun SP1M mereka sehingga jumlah maksimum sebanyak RM60, 000 setahun, dan adalah layak bagi menerima dividen ke atas simpanan mereka.

Pemandu yang menjadi anggota SP1M juga  akan  menikmati faedah yang sama seperti manfaat kematian sebanyak RM2,500yang dinikmati oleh pencarum KWSP.

Di samping dividen tahunan dan faedah KWSP, kerajaan juga menyumbang 10 peratus daripada caruman tahunan kepada jumlah maksimum sebanyak RM120 setahun sehingga ke penghujung 2017, untuk anggota di bawah usia 55 tahun.

KWSP berkata, ia sedang dalam perbincangan dengan pihak kerajaan untuk meneruskan manfaat ini.

Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan, daripada 22 juta penduduk Malaysia yang bekerja, seramai 6.8 juta aktif menyumbang kepada KWSP dan 1.7 juta lagi dilindungi oleh skim pencen awam.

Baki seramai 13.7 juta lagi terdiri daripada individu-individu yang bekerja sendiri dan tidak dijamin oleh apa-apa program perlindungan sosial rasmi dalam negara.-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: KWSP , Uber
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan