suria

Miti Lulus Pinjaman RM1.595 Bilion Bantu PKS Patuh Syariah

GEORGE TOWN: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) melalui agensinya, SME Corp meluluskan pinjaman sebanyak RM1.595 bilion di bawah Skim Pembiayaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) patuh syariah sejak 2012 dan sehingga kini.

Timbalan Menteri, Datuk Ahmad Maslan berkata sejak diperkenalkan pada 2012, sebanyak 1,181 pemohonan telah diterima namun hanya 971 pemohonan diluluskan.

“Dana bernilai RM2 billion telah disediakan dalam skim ini sejak 2012 untuk membantu usahawan dan peniaga kecil di seluruh negara, dan sehingga hari ini sebanyak RM1.595 bilion telah diluluskan yang akan melibatkan 13 bank," katanya kepada pemberita di sini,  selepas lawatan kerja ke Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata skim tersebut dikendalikan oleh 13 institusi perbankan Islam yang mengambil bahagian.

Ahmad berkata, kerajaan Persekutuan akan membiayai dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan bank yang dikenakan kepada PKS.

"Rebat itu adalah khas untuk membantu PKS yang menjalankan aktiviti perniagaan dalam semua bidang yang patuh syariah kecuali perkhidmatan kewangan.

"Saya amat yakin ramai pengusaha PKS yang layak memohon akan mendapat manfaat daripada kos pinjaman lebih rendah daripada institusi perbankan Islam terlibat melalui rebat yang disediakan oleh kerajaan Persekutuan," katanya.

Sementara itu bagi Pulau Pinang, Ahmad berkata setakat ini, sejumlah RM112.6 juta telah diluluskan kepada 76 syarikat PKS patuh syariah.

"Daripada 94 pemohon di Pulau Pinang, 76 syarikat telah mendapat kelulusan yang membolehkan mereka memperkembangkan perniagaan,” katanya.

Terdahulu, dalam rangka lawatan kerja di Pulau Pinang hari ini, Ahmad melawat kilang pengeluar barangan perubatan, Abbott, dan kilang PKS pembekal santan beku dan pasteur, Agus Food Industries Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Bebas Bayan Lepas.

Artikel Berikut

Artikel Lain