suria

Dagangan Malaysia-Taiwan Dijangka Lebih AS$17 Bilion Tahun Ini

Chang Chi-ping

KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala Malaysia-Taiwan dijangka melebihi AS$17 bilion (AS$1 = RM4.21) pada tahun ini, kata James Chang Chi-ping yang juga wakil Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia.

Menurutnya, ini akan dipacu oleh Dasar Hala Selatan Baharu kerajaan negara itu yang bertumpu kepada Asia Tenggara, Asia Selatan dan Australasia selain kerjasama membabitkan sektor swasta.

"Antara sektor yang akan menyumbang kepada peningkatan perdagangan itu termasuk teknologi maklumat dan komunikasi, e-dagang, pertanian, akuakultur dan peranti perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pavilion Kecemerlangan Taiwan bersempena Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau and  Produk Eko Malaysia 2017 di sini, Rabu.

“Ada sebanyak 18 negara dalam Dasar Hala Selatan Baharu itu dengan tumpuan khusus terhadap enam negara iaitu Filipina, Vietnam, Thailand, Indonesia, India dan Malaysia.

“Negara lain adalah Bangladesh, Bhutan, Nepal, Pakistan, Sri Lanka, Australia, New Zealand serta negara anggota Asean,” katanya.

Chang berkata hasil sokongan dasar berkenaan, perdagangan antara Malaysia dan Taiwan bagi tempoh Januari hingga Ogos mencatatkan pertumbuhan dua angka berbanding tahun lepas.

"Ini menyebabkan kita optimis bahawa jumlah dagangan itu pasti melepasi AS$17 bilion pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata, syarikat-syarikat Taiwan juga aktif menyertai pameran di Malaysia dan telah menyertai kira-kira 37 pameran setakat ini iaitu peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding tahun lepas.

Chang berkata Taiwan turut menyasarkan peluang untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang teknologi hijau.

Pertumbuhan teknologi hijau itu merupakan satu aliran global dan potensinya tiada had selain memberi manfaat kepada setiap negara yang menceburi usaha tersebut.

"Taiwan adalah peneraju industri hijau dan mempunyai sejarah kukuh kejayaan kerjasama dengan Malaysia dalam banyak bidang. Kita yakin kerjasama selanjutnya dalam teknologi hijau akan membawa potensi besar pada masa depan selain dapat bersama-sama membangunkan pasaran hijau Asean,” katanya.-- Bernama

Chang Chi-ping, Taiwan

Artikel Lain