suria

Maxis Sasar Tarik 2.8 Juta Isi Rumah

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan komunikasi dan internet, Maxis Bhd, menyasarkan untuk menarik seramai 2.8 juta isi rumah menerusi produk terbaharu MaxisONE Prime dengan pelan semua-dalam-satu merangkumi data kelajuan tinggi untuk kediaman dan mudah alih serta kelajuan tinggi fiber untuk seisi keluarga.

Ketua Perniagaan Penggunanya, Dushyan Vaithiyanathan berkata sejajar kedudukan Maxis yang menawarkan rangkaian 4G paling pantas, syarikat itu kini merancang untuk menawarkan perkhidmatan fiber terbaik dalam pelan itu.

"Kami menyasarkan anggota keluarga termasuk anak-anak. Sebanyak 15 peratus kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun merupakan pengguna peranti dan internet ketika ini.

"Sehubungan itu, produk ini amat sesuai untuk seisi keluarga," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran MaxisONE Prime, di sini.

Produk itu antara lainnya membolehkan sehingga lima anggota keluarga menikmati data tanpa had secara mudah alih dan jalur lebar kediaman.

Sementara itu, Ketua Pasca Bayar Maxis, Arjun Varma berkata MaxisONE Prime akan memudahkan keluarga menikmati gaya hidup digital mereka yang merentasi mudah alih, kediaman serta peranti berkaitan.

"Rakyat Malaysia sukakan internet dan mahukan kemudahan itu tidak kira di mana mereka berada. Keinginan itu pula seiring dengan keperluan untuk menguruskan kesemua data berkenaan sama ada menerusi (talian) fiber atau mudah alih dengan lebih mudah," katanya.

Menurut Arjun, para pengguna MaxisONE Prime juga akan mendapat sokongan tambahan 4G bagi sambungan secara lancar untuk jalur lebar tetap kediaman dalam lingkungan dari 30Mbps sehingga 100Mbps.

MaxisONE Prime ditawarkan pada harga serendah RM367 sebulan yang didatangkan bersama fiber 30Mbps dan satu talian mudah alih dengan panggilan, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan data tanpa had.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain