suria

CEO Baharu Proton Berpengalaman Luas

Dr Li Chunrong.

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil National Sdn Bhd (PONSB) yang baharu, Dr Li Chunrong, merupakan individu yang tidak asing lagi dalam industri automotif.

Li mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri itu dan kini akan menerajui pemulihan syarikat pembuat kereta nasional tersebut, menurut kenyataan bersama DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geeling Holding Group (Geely).

Menurut kenyataan itu, Li mempunyai wawasan yang tinggi untuk membentuk Proton Holdings Bhd dalam tahun-tahun akan datang.

“Li merupakan graduan dari Universiti Sains dan Teknologi Huazhong dengan Sarjana Muda Automasi Elektrik dan meneruskan pengajian Sarjana pertamanya dalam Kejuruteraan dan Pengurusan Industri.

“Beliau kemudiannya memperolehi Sarjana kedua dalam Pentadbiran Perniagaan di Massachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat,” menurut kenyataan itu.

Perjalanan Li dalam sektor automotif bermula di Dongfeng Motor Corp, syarikat pembuat kereta milik negara China yang berpangkalan di Shi Yan, China, pada 1987 sebaik sahaja ia menamatkan pengajian Sarjana pertamanya.

“Pada 1997, beliau dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Pengarah Pejabat Lembaga Setiausaha, dengan berperanan sebagai pembantu kepada CEO.

“Sepanjang tempoh itu, Li menerajui perniagaan syarikat termasuk memantau perkembangan enam usaha sama berlainan dengan jenama antarabangsa antaranya Honda, Nissan dan Kia,” menurut kenyataan tersebut.

Pada 2007, Li menjadi Naib Presiden, Ketua Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif di Dongfeng Passenger Vehicle Co, satu lagi anak syarikat Dongfeng Motor Group Co Ltd.

Dongfeng dan jenama itu bermula dari bawah bersama-sama Li, individu penting dalam mewujudkan sistem reka bentuk, pembangunan dan pengeluaran sebelum jualan dan operasi bermula pada 2009.

Jenama tersebut berkembang di bawah kepimpinan beliau apabila jumlah jualan keseluruhan meningkat kepada 150,077 kenderaan pada 2016, yang mewakili peningkatan 50 peratus berbanding tahun sebelum itu.

Beliau kemudian berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah dan Naib Presiden Eksekutif Dongfeng Honda Engine Co sebelum dipilih oleh DRB-HIicom dan Zhejiang Geely Holding Group untuk menerajui anak syarikat milik penuh Proton Holding Bhd, PONSB, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Li dilantik menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Kenali mulai 1 Oktober 2017.

DRB-Hicom dan Geely Holding masing-masing memiliki 50.1 peratus dan 49.9 peratus pegangan dalam Proton Group. - BERNAMA

Proton

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain