suria

Ahmad Hizzad Khidmat Semula Di BNM

KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Hizzad Baharuddin akan berkhidmat semula  di Bank Negara Malaysia (BNM) berikutan tamatnya tempoh beliau dipinjamkan ke Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan  (Labuan FSA) selama enam tahun sebagai Ketua Pengarah.

BNM dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, berkuat kuasa 3 Oktober 2017, Ahmad Hizzad akan menjadi Penolong Gabenor yang bertanggungjawab terhadap Jabatan Operasi Pelaburan dan Pasaran Kewangan, Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing, Jabatan Undang-Undang dan Jabatan Pengurusan dan Operasi Mata Wang.

Beliau juga akan menjadi pengerusi bersama Jawatankuasa Pasaran Kewangan bersama-sama dengan Penolong Gabenor, Norzila Abdul Aziz.

Sebelum dipinjamkan untuk berkhidmat di Labuan FSA,  Ahmad Hizzad merupakan Pengarah di beberapa jabatan di BNM termasuk Jabatan Dasar Sistem Pembayaran, Jabatan Pembangunan Sektor Kewangan dan Jabatan Perbankan Islam dan Takaful.

Ahmad Hizzad memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perniagaan daripada Eastern Illinois University, Amerika Syarikat serta Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Saint Louis University, Amerika Syarikat.- Bernama

Ahmad Hizzad, BNM

Artikel Berikut

Artikel Lain