Miti Gesa Pos Malaysia Tubuhkan Hab Logistik E-Dagang - Niaga | mStar

Miti Gesa Pos Malaysia Tubuhkan Hab Logistik E-Dagang

Diterbitkan: Selasa, 12 September 2017 7:48 PM

(Ubah saiz teks)

NANNING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan bertemu Pos Malaysia Bhd bagi membincangkan penubuhan hab logistik e-dagang di negara ini.

Menteri Miti Kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, sudah tiba masanya untuk Pos Malaysia berubah kepada entiti logistik e-dagang sepertimana China Post.

"Apabila saya pulang nanti, saya mahu berbincang dengan Pos Malaysia mengenai perubahan Malaysia kepada hab logistik e-dagang. Saya mendapat inspirasi ini daripada China Post yang mempunyai lebih 50,000 pejabat dan cawangan pos," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman (MoU) di sini, Selasa.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah menandatangani MoU dengan China Post cawangan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang dan KCO Logistics and Distribution Services Sdn Bhd.

MoU terbabit akan membuka jalan kepada syarikat Malaysia untuk memasuki pasaran China.

Ka Chuan menyaksikan pertukaran dokumen antara kedua-da pihak.

"Hubungan kerjasama antara pihak terlibat bertujuan meningkatkan persekitaran perniagaan dan mempromosi akses pasaran yang lebih berkesan kepada syarikat Malaysia.

“Ini boleh dilakukan dengan penubuhan Pavilion Malaysia dalam portal e-dagang China Post, ule.com dan dipasarkan di luar talian dan rangkaian di China.

"Bidang kerjasama itu termasuk penubuhan dan operasi Pavilion Malaysia di platfrom dalam talian serta luar talian China Post," katanya.

Ka Chuan menjelaskan yang ule.com adalah platfrom e-dagang luar bandar yang menghubungkan outlet luar talian dengan dalam talian atau perkhidmatan mudah alih dan disokong oleh rangkaian logistik China Post yang meluas.

Menurutnya, usaha seperti itu akan membantu merangsang kehadiran produk dan jenama Malaysia bagi memanfaatkan pasaran di seluruh China.

Sebelum itu, Ong menghadiri perasmian Ekspo China-Asean (CAEXPO) Ke-14 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-Asean.

Ekspo empat hari yang dianjur setiap tahun di Nanning sejak 2004 ialah satu platform untuk menggalak kerjasama antara China dan Asean dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Tema CAEXPO tahun ini ialah “Membina Laluan Sutera Maritim Abad Ke-21 Secara Bersama, Mempromosi Integrasi Ekonomi Serantau Melalui Pelancongan" .
-- Bernama 


Tags / Kata Kunci: Pos Malaysia , Miti
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan