suria

Malaysia Sasar Jualan Perabot RM44 Juta Di China

KUALA LUMPUR: Majlis Perkayuan Malaysia (MTC)  menyasarkan jualan bernilai RM44 juta pada Ekspo Perabot Antarabangsa China (Furniture China), berdasarkan kejayaan jualan rakan industrinya sejak dua tahun lepas.

Tahun lepas, peserta pameran mencatatkan potensi dan jualan sebenar bernilai RM40.03 juta, dan tahun ini merupakan edisi ketiga penganjuran MTC untuk kumpulan peserta ke Furniture China, yang merupakan antara pameran perdagangan B2B utama dunia anjuran Persatuan Perabot Kebangsaan China dan Shanghai UBM Sinoexpo International Exhibition Co Ltd.

Pada 2016, eksport kayu dan produk kayu ke China bernilai RM846.8 juta atau peningkatan sebanyak 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Perabot masih merupakan eksport utama produk kayu Malaysia ke China dari segi nilai, sebanyak RM121.7 juta, yang merupakan peningkatan 91 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Hubungan dagang dan pelaburan antara China dan Malaysia menunjukkan peningkatan yang sihat sejak tahun-tahun kebelakangan ini, dan hubungan ini perlu dikekalkan memandangkan China merupakan pengimport kayu dan produk kayu kelapan terbesar Malaysia pada 2016,” kata Pengerusi MTC Datuk Gooi Hoe Hin dalam satu kenyataan.

Pameran tahun ini berlangsung dari 12 hingga 15 September di Shanghai New International Expo Centre (SNIEC) di Pudong, Shanghai, China.

Tahun lepas, Furniture China menarik kira-kira 120,000 pembeli dan pelawat dari 158 negara.

Kali ini, terdapat lebih 2,300 peserta pameran yang akan mengetengahkan produk masing-masing di kawasan lantai seluas 300,000 meter persegi yang melibatkan 19 dewan dan 15 pavilion luar.

Pameran itu berjalan serentak dengan acara Pengeluaran dan Bekalan Perabot China 2017 di SNIEC.

Kali ini, MTC akan mengetuai delegasi 20 syarikat yang akan mengetengahkan produk jualan terlaris masing-masing di Pavilion Malaysia, termasuk 10 syarikat yang pertama kali menyertainya.

“ Furniture China kali ini akan memberi tumpuan ke atas perabot rumah kontemporari dan pengeluaran premium.

"Kategori ini sesuai dengan pengeluar perabot negara memandangkan Malaysia terkenal atas produk berkualiti dan merupakan pembekal yang boleh dipercayai dan mempunyai rekod baik yang sudah terbukti dapat memenuhi tempahan pada masa yang ditetapkan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Datuk Dr Abdul Rahim Nik.

Beliau berkata tahun ini juga penganjur pameran juga memberi tumpuan ke atas usaha untuk menghubungkan pereka dengan pembekal terkemuka. – Bernama  


MTC, China

Artikel Sebelum

Artikel Lain