suria

Usahawan Makanan Perlu Patuhi Piawaian, Peroleh Sijil Halal

ALOR SETAR: Usahawan dalam talian terutamanya yang mengusahakan produk makanan digalakkan agar mematuhi dan mengaplikasi piawaian antarabangsa serta pensijilan halal bagi menembusi pasaran luar negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Datuk Ahmad Maslan berkata pematuhan terhadap piawaian tersebut dilihat sebagai batu loncatan kepada usahawan untuk meningkatkan sistem jaminan keselamatan makanan sesuatu produk agar lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa.

"Saya mengesyorkan usahawan dalam talian mahupun premis jualan atau jualan langsung agar mempunyai piawaian utama tersebut kerana ia produk akan lebih menjadi pilihan pengguna.

"Misalnya jika seseorang usahawan ataupun syarikat itu mempunyai sijil halal, pasarannya akan lebih luas kerana kesedaran pengguna di luar negara terutamanya negara maju mengenai sijil halal amat tinggi ketika ini," katanya selepas melawat kilang West Food Industries Sdn Bhd dekat Mergong, Isnin.

Antara piawaian tersebut ialah Sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan pensijilan ISO.

Sementara itu Ahmad Maslan turut memuji syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Wetra Food Industries yang berjaya melebarkan sayap menembusi pasaran antarabangsa seperti China, Myanmar, Rusia dan Indonesia melalui pelbagai produk minuman dan kopi paket.

Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan PKS di seluruh negara agar turut  mematuhi piawaian yang ditetapkan agar berkeupayaan untuk mengeksport lebih banyak produk ke luar negara.

Beliau berkata kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Miti sendiri akan sentiasa memberikan bantuan seperti  membawa produk keluaran PKS ke pameran tertentu untuk dipromosikan.

"SMECorp pula akan terus selaras aktiviti 16 kementerian dan 65 agensi untuk membantu semua usahawan PKS yang berjumlah 905,000, walaupun tidak semua syarikat mempunyai keupayaan untuk mengeksport," katanya.-- Bernama  



Miti, Ahmad Maslan

Artikel Lain