suria

Bumi Armada Catat Untung Sebelum Cukai Suku Kedua RM185.98 Juta

KUALA LUMPUR: Penyedia kemudahan dan perkhidmaan tenaga luar pesisir antarabangsa berpangkalan di Malaysia, Bumi Armada Bhd, kembali mencatat untung sebelum cukai sebanyak RM185.98 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2017.

Jumlah itu berbeza berbanding kerugian sebelum cukai RM525.65 juta dalam tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan melonjak kepada RM694.41 juta berbanding RM402.86 juta, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Jumaat.

Bagi kumulatif enam bulan, keuntungan sebelum cukai berjumlah RM259.6 juta berbanding kerugian sebelum cukai RM469.71 juta, dengan pendapatan melambung kepada RM1.098 bilion berbanding RM833.63 juta dalam tempoh yang sama pada 2016.

Dalam kenyataan berasingan, Bumi Armada berkata, pendapatan segmen perniagaan pengeluaran terapung dan operasi  (FPO) pada suku kedua 2017 meningkat 116.9 peratus tahun ke tahun kepada RM337.6 juta.

Ini berikutan pendapatan lebih tinggi daripada pengeluaran terapung, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Armada Olombendo dan unit penyimpanan terapung (FSU) Armada LNG Mediterrana serta ketiadaan pembayaran tambahan kepada penyewa FPSO Armada Kraken, yang menjejaskan pendapatan suku pertama 2017.

Menurutnya, pendapatan perkhidmatan marin luar pesisir (OMS) pada suku kedua 2017 menyaksikan kenaikan 44.3 peratus tahun ke tahun kepada RM356.8 juta, berikutan pertambahan pendapatan daripada projek LukOil.

Bumi Armada berkata, penggunaan kapal sokongan luar pesisir (OSV) pada suku kedua 2017 meningkat kepada 53 peratus berbanding 42 peratus pada suku pertama 2017, dibantu peningkatan aktiviti musim pasca monsun serta jualan empat kapal lama pada suku tersebut.

“Peningkatan prestasi suku kedua menunjukkan pemulihan berterusan dalam kumpulan walaupun keadaan pasaran yang agak lemah. Perniagaan FPO semakin meningkat ketika projek utama baharu kami memberi sumbangan secara positif," kata Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif,  Leon Harland.

Menurut beliau, pada suku kedua 2017, kumpulan itu memperoleh sumbangan suku penuh daripada FSU Armada LNG Mediterrana dan FPSO Armada Olombendo FPSO masing-masing di Malta dan Angola.

“Kami juga menyaksikan pendapatan untuk FPSO Armada Kraken FPSO di United Kingdom menjelang akhir suku kedua dengan FPSO Karapan Armada Sterling III di Indonesia sudah pun lulus ujian 72 jam sejak akhir suku kedua 2017 dan turut mula memberi sumbangan.

“Kami akan membida projek FPO baharu dan meningkatkan usaha ke atas tender terpilih dan berharap untuk melihat keputusan pada 2018,” kata Harland.

-- Bernama
Bumi Armada

Artikel Lain