suria

Merchantrade Tingkatkan Pertumbuhan Perkhidmatan Fintech

KUALA LUMPUR: Kerjasama strategik Merchantrade Asia Sdn Bhd (Merchantrade) dengan BonusKad Loyalty Sdn Bhd (BonusLink), dijangka memacu pertumbuhannya dengan transaksi eRemit bernilai RM1 bilion sahaja menjelang 2018.

Di bawah perjanjian yang dimeterai hari ini, Merchantrade, penyedia perniagaan perkhidmatan wang (MSB) tempatan yang utama, akan menyediakan eRemit, perkhidmatan pemindahan wang, dan eForex, mata wang pertukaran asing dalam talian kepada lapan juta ahli BonusLink di seluruh negara.

”Pada 2016, platform eRemit mencatatkan transaksi sebanyak RM650 juta dan jumlah itu dijangka mencecah RM800 juta pada tahun ini, manakala unjuran pertumbuhan eForex sebanyak 140 peratus pada akhir 2017,” kata Pengasas dan Pengarah Urusan,  Ramasamy K Veeran dalam kenyataan, Rabu.

Beliau juga berkata kerjasama itu akan menyaksikan pertumbuhan positif bagi kedua-dua syarikat dari segi perniagaan, terutamanya dengan peningkatan telefon pintar, peranti digital dan akses Internet yang mudah.

“Kami gembira dengan peluang pertumbuhan yang besar daripada kerjasama ini yang menyasarkan untuk memacu pertumbuhan perkhidmatan Fintech kami,” katanya.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, purata rakyat Malaysia menghabiskan lebih lima jam sehari melayari Internet, berikutan kadar jalur lebar dan penembusan mudah alih yang tinggi di negara ini, masing-masing pada 72.2 peratus dan 144.8 peratus.

Ramasamy berkata melalui kerjasama strategik ini, Merchantrade dan BonusLink akan memanfaatkan kekuatan masing-masing seperti inisiatif pemasaran silang dan aktiviti promosi untuk memberi lebih banyak faedah kepada pelanggan.

Sementara itu, bersempena dengan pelancaran kerjasama baharu itu, ahli BonusLink kini boleh mengumpul 2X BonusLink Points dari 23 Ogos hingga 30 Sept, 2017 di eForex untuk pembelian mata wang dan eRemit, untuk transaksi wang di luar negara.

Perkhidmatan eForex dan eRemit Merchantrade boleh didapati di Internet dan juga boleh diakses melalui aplikasi yang boleh dimuat turun di platform Android dan iOS.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain