suria

FJB Sasar Eksport PKS Ke Jepun Meningkat

KUANTAN: Felda-Johore Bulkers Sdn Bhd (FJB) menyasarkan jumlah eksport perniagaan usaha sama terbaharunya, tempurung isirung sawit (PKS) ke Jepun akan meningkat sekali ganda kepada 120,000 tan metrik tahun depan berbanding tahun ini.

FJB merupakan anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Ketua Pegawai Eksekutif Mohamad Zuki Wan Abdullah berkata ini terutamanya didorong oleh faktor peningkatan penghasilan tandan buah segar sebanyak 50 peratus susulan pasca impak fenomena cuaca El Nino serta pertambahan jumlah penghantaran ke negara itu.

Malah, katanya, penghasilan PKS yang lebih baik pada Julai tahun ini turut melepasi jumlah pada 2016 yang hanya akan menyumbang kepada angka sasaran.

"Buat masa ini kita hanya eksport setiap dua bulan dan saya jangka kita mampu tingkatkan jumlah penghantaran itu kepada sebulan sekali pada penghujung tahun ini.

"Kita juga dapat melihat sumbangan perniagaan ini kepada tahun kewangan syarikat. Kita boleh jana lebih banyak perolehan dan pendapatan untuk FJB dan FGV secara keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi kunjungan media ke gudang PKS FJB di Pelabuhan Kuantan di sini, Rabu.

Zuki turut berkongsi rancangan syarikat itu untuk mengembangkan gudang PKS di Kuantan menerusi penambahan kapasiti sehingga 6,000 tan metrik bagi menampung permintaan tinggi komoditi itu pada 2018 dan seterusnya.

Menerusi peningkatan kapasiti itu, FJB menyasarkan eksport PKS ke pasaran China dan Korea Selatan dalam masa terdekat ini.

"Kita menerima pertanyaan dari China dan Korea Selatan namun jumlah yang ada sekarang tidak mencukupi.

"Jepun merupakan projek perintis kita dan apabila kapasiti kita dapat ditambah, mungkin ia dapat diperluaskan ke China dan Korea Selatan," katanya.

Penghasilan PKS dari ladang huluan FGV pada 2018 diunjur meningkat kepada 120,000 tan metrik daripada 100,000 tan metrik tahun ini.

Malaysia dan Indonesia merupakan pengeksport utama PKS dunia manakala pengimport utamanya dari Jepun, Korea Selatan, negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat.

Malaysia menguasai 54 peratus bahagian pasaran di Jepun pada tahun lepas dan bakinya ditampung oleh Indonesia.

FGV telah mengeskport kira-kira 30,000 tan metrik PKS mentah ke Jepun sejak akhir 2016 dengan penghantaran pertama pada penghujung November, kedua pada Januari lepas manakala ketiga sebanyak 10,000 tan metrik PKS dijadual esok.

Permintaan industri terhadap PKS di Jepun dijangkakan sebanyak 1.5 juta tan metrik pada 2018 dan mencecah 20 juta tan metrik menjelang 2030.

Harga pasaran semasa bagi PKS yang dibersihkan adalah antara US$75-US$85 satu tan metrik dan aliran itu kian meningkat.

Malah, harganya  boleh mencecah lebih US$95 atau lebih pada beberapa tahun akan datang berikutan peningkatan permintaan terhadap komoditi itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain