100 Syarikat Dijangka Capai Sasaran 30 Peratus Penyertaan Wanita

Diterbitkan: Isnin, 21 Ogos 2017 7:19 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dijangka dapat mencapai sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam lembaga pengarah 100 syarikat utama di Bursa Malaysia dengan pelancaran Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Jurucakap ‘MCCG Roadshow' yang dianjurkan oleh SC, Kasturi Nathan, berkata kod baharu yang dipertingkatkan akan menggalakkan lebih banyak penyertaan wanita dalam lembaga pengarah, yang akan merangkumi sekurang-kurangnya 30 peratus pengarah wanita.

Kasturi, pengarah eksekutif KPMG berkata pada masa ini, masih terdapat 17 daripada 100 syarikat utama terdiri daripada semua pengarah lelaki dan usaha telah dilakukan untuk mereka melantik wanita ke dalam lembaga pengarah.

"Kajian menunjukkan bahawa tahap produktiviti syarikat dengan semua lelaki dalam lembaga pengarah adalah lebih rendah berbanding dengan syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus penyertaan wanita," katanya semasa pameran MCCG berkenaan di sini, Isnin.

Beliau berkata kumpulan pertama syarikat yang perlu melaporkan penggunaan kod itu ialah mereka yang mempunyai tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2017.

"MCCG yang baharu memberi penekanan lebih besar terhadap budaya tadbir urus korporat dalaman, bukan hanya dalam kalangan syarikat tersenarai, tetapi juga menggalakkan entiti tidak tersenarai termasuk syarikat milik negara, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pengantara berlesen untuk mengamalkan kod tersebut," katanya.

Beliau berkata bagi melengkapkan struktur tadbir urus korporat untuk pasaran modal, rangka kerja tadbir urus korporat untuk pengantara berlesen dan berdaftar akan diperkenalkan untuk membantu meningkatkan daya saing mereka dan membolehkan mereka mengakses pembiayaan luaran yang berpatutan, mengurangkan kos modal dan meningkatkan prestasi.

Kod baharu berkenaan yang dilancarkan pada April tahun ini, melibatkan 36 amalan yang merupakan set amalan terbaik untuk mengukuhkan budaya korporat yang berlandaskan akauntabiliti dan ketelusan.

Pameran bergerak MCCG itu bermula di Pulau Pinang hari ini dengan kira-kira 40 wakil daripada syarikat tersenarai awam hadir sebelum ke Sabah dan Sarawak, masing-masing pada 28 Ogos dan 29 Ogos.

Pameran berkenaan dijadual berakhir di Johor pada 6 Sept ini.

iklan

Video

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Kolumnis

iklan

Iklan