suria

UEM Edgenta Jual 61.2 Peratus Kepentingan Dalam OIC

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd  bercadang menjual 61.2 peratus kepentingannya atau 90.51 juta saham, dalam unitnya yang berpangkalan di New Zealand, Opus International Consultants Ltd (OIC), melibatkan bayaran NZ$161.1 juta (RM504.1 juta).

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, UEM Edgenta berkata pertimbangan pelupusan itu akan dibuat pada harga tawaran NZ$1.78 bagi sesaham OIC.

UEM Edgenta berkata ia sudah meneima notis pengambilalihan untuk pembelian daripada WSP Global Inc, sebuah syarikat Kanada yang disenarai di Toronto Stock Exchange yang menyediakan perkhidmatan pengurusan dan perundingan dalam pembangunan dan persekitaran semula jadi.

“Pelupusan itu akan dibuat menerusi anak syarikat milik penuh UEM Edgenta, Opus International Ltd (ONZ), anak syarikat milik penuh Opus Group Bhd (OGB) yang seterusnya merupakan anak syarikat milik penuh syarikat berkenaan,” katanya.

OIC disenarai di New Zealand Stock Exchange sejak 2007. Pemodalan pasaran nya kini berjumlah  NZ$146.4 juta (RM458.0 juta).   UEM Edgenta bagaimanapun berkata ia akan mengekalkan OGB, sebuah entiti yang memberi tumpuan ke atas pengurusan projek dan perundingan reka bentuk yang beroperasi di Malaysia dan Indonesia, dan menarik sumber daripada 0IC, terutama dalam perniagaan pengurusan aset dan perundingan dalam sektor lebuh raya.

Ia berkata cadangan pelupusan OIC merupakan peluang untuk syarikat  untuk menjana kewangan daripada pendahuluan pelaburannya pada premium yang sihat berbanding harga pasaran semasa selain membolehkan syarikat itu mengurangkan nisbah hutang kasarnya daripada 0.8x (pasca  pengurangan sukuk sebanyak RM300 juta pada April 2017)  kepada 0.4 kali.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta  Datuk Azmir Merican,  berkata keuntungan daripada cadangan itu antara lain akan digunakan untuk mengurangkan hutang.

“Ia juga akan menyediakan UEM Edgenta sumber kewangan dan membolehkan pengurusan memacu dan menyokong pertumbuhan organik serta inisiatif kecemerlangan operasi dalam sektor teras kami.

Ia meliputi penjagaan kesihatan, infastruktur dan hartanah dalam pasaran utama seperti Malaysia, Singapura, Indonesia, Taiwan, India, negara lain di Asia Tenggara dan Asia Barat,” katanya.

Artikel Lain