suria

KWSP Tidak Ada Rancangan Jual Pegangan Dalam PLUS

KAJANG: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak ada rancangan untuk menjual 49 peratus pegangannya dalam pengendali lebuh raya, PLUS Malaysia Bhd, kerana pelaburan dalam syarikat itu memberikan pulangan yang baik bagi dana pencen tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata dana pencen itu dan UEM Group Bhd, yang memegang baki 51 peratus pegangan dalam PLUS, memperuntukkan pelaburan yang besar dalam mengembangkan rangkaiannya, terutamanya di Lembah Klang.

UEM Group ialah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd.

"Pihak yang berminat mungkin memaklumkan kepada akhbar berhubung perkara itu. Tetapi kami tidak menerima tawaran belian daripada sesiapa sahaja berhubung pegangan itu. Tidak ada pelamar,” kata  Shahril Ridza.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis permeteraian perjanjian perkongsian dengan International Training Centre of the International Labour Organisation (ITC-ILO) di sini, Rabu.

Beliau berkata PLUS Malaysia memberi sumbangan besar kepada pendapatan KWSP.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman dan Pegawai Program Kanan Perlindungan Sosial, Tadbir Urus dan Tripartisme ITC-ILO,  Charles Crevier.

Shahril berkata demikian sebagai mengulas mengenai hasrat yang disuarakan oleh tokoh korporat Tan Sri Abu Sahid Mohamad untuk mengambil alih PLUS Malaysia menerusi syarikatnya Maju Holdings Sdn Bhd.

Menurut laporan media, Abu Sahid dipetik sebagai berkata beliau yakin dapat mencapai perjanjian itu, yang mungkin menelan kos RM30 bilion atau lebih, kerana beliau "telah bersedia segalanya”.

Hartawan berkenaan juga dipetik sebagai berkata telah menerima restu di peringkat tertinggi berhubung perkara itu dan merancang untuk bertemu Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar bagi membincangkan pengambilalihan tersebut.

Sementara itu, perjanjian perkongsian KWSP dengan ITC-ILO akan membuka laluan bagi pembangunan bersama dan pelaksanaan aktiviti latihan pada masa depan di Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain.

"Kami akan dapat menyediakan lebih banyak ruang dan peluang dalam perkongsian maklumat dan pembangunan kapasiti, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ini.

“Matlamat bersama adalah untuk membantu antara satu sama lain dalam membangunkan keselamatan sosial dan rangkaian masa depan kita. Kerajaan Malaysia mahu menjamin masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia sebagai sebahagian daripada agenda TN50 (Transformasi Nasional 2050) ," kata Shahril.

Audien sasaran yang bakal mendapat manfaat daripada program itu terdiri daripada kementerian kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, agensi kebajikan masyarakat, institusi penyelidikan dan akademik.

KWSP kali pertama bekerjasama dengan ITC-ILO ialah pada Ogos 2016, apabila kedua-duanya menganjurkan bersama Kursus Eksekutif Merancang dan Meluaskan Perlindungan Sosial di Malaysia.   

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain