suria

Jumlah Perdagangan Malaysia Cecah RM1.6 Trilion

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yakin jumlah perdagangan Malaysia akan meningkat kepada RM1.6 trilion pada tahun ini, berbanding RM1.49 trilion pada 2016.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata berdasarkan kepada kadar perdagangan bagi tempoh enam bulan lepas, Malaysia dengan mudah, sekurang-kurangnya, dapat mengatasi nilai dagangan pada tahun lepas.

Ini mengambil kira kadar yang dikekalkan untuk sepanjang tahun ini, katanya.

"Bagi tempoh enam bulan lepas, perdagangan kita mencatat prestasi yang amat baik. Dari Januari hingga Jun, jumlah perdagangan mencecah RM859.17 bilion, iaitu RM451.05 bilion bagi eksport dan RM408.12 bilion, import, dengan lebihan sebanyak RM42.93 bilion.

"Daripada jumlah eksport, produk elektrik dan elektronik mencatatkan RM161 bilion, membuktikan negara sedang beralih daripada produk berasaskan komoditi kepada yang berkaitan dengan pembuatan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Asean di sini.

Katanya ini mungkin disebabkan Industri 4.0 yang sedang berkembang dengan permintaan meningkat bagi barangan berkaitan elektrik dan elektronik, dengan banyak syarikat multinasional dan kilang tempatan dalam segmen tersebut mencatat prestasi yang amat baik.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ong berkata Malaysia pada masa ini sedang berusaha bagi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang diharap dapat dimuktamadkan awal.

"Tiada masalah bagi Asean untuk mengintegrasikan dengan enam negara atau rakan dialog dalam perbincangan bagi RCEP. Cabarannya ialah, enam negara itu, tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara mereka.

"Mereka (rakan dialog) perlu menyelesaikan masalah tersebut. Sebaik cabaran ini dapat diatasi, kita dapat memuktamadkan RCEP tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Miti, Datuk Seri J. Jayasiri berkata ahli pakatan RCEP mungkin merancang untuk melancarkan perjanjian itu secara pakej dari akhir tahun, jika cabaran antara rakan dialog tidak dapat diselesaikan.

"Perunding (RCEP) baru sahaja selesai pusingan (perbincangan) mereka di Hyderabad (India) dan (perbincangan) seterusnya di Incheon (Korea Selatan). Mereka sedang berusaha keras untuk memuktamadkan perbincangan tersebut menjelang akhir tahun,” katanya.

Dilancarkan pada 2012 semasa Sidang Kemuncak Asean di Kemboja, RCEP adalah FTA yang dicadangkan antara 10 negara anggota ASEAN dengan enam rakan dialog iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

16 negara RCEP menyumbang hampir 50 peratus daripada populasi dunia, dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak US$22.8 trilion atau 30.7 peratus daripada KDNK dunia.  

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain