suria

IWK Kutip 87 Peratus Bil Tertunggak

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) berjaya mengutip 87 peratus daripada RM8 juta bil perkhidmatan pembetungan tertunggak yang terkumpul sejak 1997, kata Pemangku Ketua Pegawai Operasi IWK Ir Mohamed Haniffa Abdul Hamid.

Beliau berkata usaha proaktif IWK memberi kesedaran kepada pengguna terhadap kepentingan perkhidmatan pembetungan.

“Kadar kutipan bil IWK menunjukkan perkembangan positif dengan pelbagai inisiatif diambil antaranya bertemu pelanggan, menghantar surat peringatan serta kempen kesedaran.

IWK tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan tegas sehingga menyukarkan pengguna, namun ingin saya tegaskan bahawa kesedaran untuk membayar bil secara efisien amat diperlukan,” katanya ketika ditemui Bernama di Ibu Pejabat IWK di sini.

Mohamed Haniffa berkata walaupun IWK sebelum ini berdepan jumlah tunggakan bil pembetungan yang tinggi, namun syarikat pembetungan nasional itu mampu bertahan lebih 20 tahun hasil  pengurusan  cekap  kakitangannya.

Mohamed Haniffa berkata IWK mengenakan caj perkhidmatan premis domestik yang sangat rendah iaitu RM8 sebulan dan bil dihantar kepada pengguna setiap tiga bulan.

“Bayangkan betapa rendah caj yang kami kenakan sejak 20 tahun lepas tanpa sebarang kajian semula. Ini jelas menunjukkan kerajaan memainkan peranan yang besar memperuntukkan sejumlah wang bagi melancarkan operasi IWK,” katanya.

Beliau berkata IWK sentiasa memastikan loji olahan kumbahan awam dan rangkaian saliran paip pembetungan awam dikendali dan diselenggara dengan cekap demi menjaga kebersihan alam sekitar selain melindungi kesihatan pengguna daripada penyakit berjangkit bawaan air seperti kepialu, taun dan polio.

Mohamed Haniffa berkata IWK sehingga kini mempunyai 3.6 juta pengguna meliputi 87 kawasan  pihak  berkuasa tempatan (PBT), kecuali Majlis Perbandaran Johor Bahru, Majlis Perbandaran Pasir Gudang serta PBT di negeri Kelantan, Sabah dan Sarawak.

“Daripada jumlah itu,  sebanyak 3.2 juta pengguna adalah pelanggan domestik (800,000 daripada jumlah itu merupakan pengguna yang menetap di kawasan perumahan kos rendah) manakala selebihnya  adalah  pelanggan bukan domestik,” katanya.

IWK menjalankan operasi dan penyelenggaraan sistem pembetungan awam bagi 6,566 buah loji olahan kumbahan termasuk paip pembetungan awam bawah tanah sepanjang 18,293 kilometer.

Syarikat itu mengamalkan sistem pembetungan moden dan efisien bagi memastikan kumbahan dirawat sebelum disalurkan ke sungai, parit dan laut.

Mohamed Haniffa berkata beliau akan memastikan tiga objektif IWK iaitu memelihara sumber air, melindungi kesihatan awam serta mewujudkan perseki­taran bersih dan selamat tercapai berlandaskan Transformasi IWK 2020 (TI2020) yang menekankan sistem pengurusan cekap.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain