suria

TH Tambah Baik Sistem Teknologi Maklumat

MADINAH: Tabung Haji (TH) menambah baik sistem teknologi maklumat (IT) agensi berkenaan bagi memastikan kelancaran operasi jemaah haji Malaysia untuk musim haji 1438 Hijrah.

 Pengarah Operasi IT 1438 Hijrah, Zaaba Arpan berkata agensi berkenaan telah menaik taraf rangkaian komunikasi bagi musim haji tahun ini dengan menggunakan tiga pengendali telekomunikasi Arab Saudi – STC, Mobily dan Zain.

"Buat pertama kali, kita juga menggunakan gentian optik di ibu pejabat TH di Makkah semasa musim haji tahun ini. Pada tahun lepas, kita menggunakan talian digital ADSL. Ini akan meningkatkan keseluruhan kualiti rangkaian komunikasi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Isnin.

Dari segi perkakasan, beliau berkata pihaknya akan menggunakan 800 peralatan, termasuk 70 komputer riba baharu bagi menyokong pelbagai perkhidmatan yang disediakan TH kepada jemaah haji Malaysia dalam menunaikan Rukun Islam Kelima itu.

Katanya TH juga menambah baik beberapa aplikasi sedia ada, antaranya perkhidmatan pengeluaran wang oleh jemaah haji dengan menggunakan cap jari, mengemas kini data terkini untuk disalurkan kepada ibu pejabat TH di Kuala Lumpur, dan keseluruhan sistem operasi haji.

Beliau berkata cabaran utama di Arab Saudi adalah rangkaian internet, terutama menjelang  Hari Wukuf.

”Kita akan cuba meminimumkan risiko dengan menggunakan ketiga-tiga pengendali telekomunikasi Arab Saudi. Tiada masalah besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan kita akan menguji sistem berkenaan seminggu sebelum Wukuf,” kata Zaaba.

Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf adalah kemuncak ibadah haji,  Zaaba berkata pasukan teknikal TH telah menguji semua aplikasi utama operasi haji bermula awal tahun ini, dan tiba di Arab Saudi sejak 13 Julai untuk memasang sistem berkenaan di kesemua pejabat agensi berkenaan dan hotel-hotel penginapan jemaah haji Malaysia di Makkah dan Madinah.

"Berikutan pertambahan kuota tahun ini kepada 30,200 jemah haji dari Malaysia, kita mendapati peningkatan sebanyak 35 peratus terhadap keperluan IT,” katanya.

Beliau berkata 17 kakitangan IT akan bertugas semasa musim haji tahun ini, melibatkan dua orang di Madinah dan seorang di Jeddah, manakala selebihnya di Makkah.

Artikel Lain