suria

BNM Dijangka Kekalkan OPR Bagi Tempoh Berbaki 2017

KUALA LUMPUR:  Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalamannya (OPR)  pada tiga peratus bagi tempoh berbaki 2017, kata RHB Research.

Firma penyelidikan itu berkata dasar monetari itu tidak dijangka diperketatkan bagi tempoh berbaki tahun ini kerana inflasi dijangka kembali normal pada separuh kedua 2017 memandangkan ekonomi kembali meningkat dengan ringgit semakin stabil.

“Selain itu, pertumbuhan kukuh ekonomi domestik negara ditambah dengan kenaikan kadar lebih agresif dan rancangan mengurangkan lembaran imbangan Rizab Persekutuan AS dijangka mengehadkan skop bagi BNM untuk mengurangkan kadar faedah.

"Kami percaya bank pusat akan mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus pada 2018, memandangkan bank-bank pusat utama dunia kini cenderung ke arah langkah mengetatkan dasar monetari dan pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik,” kata RHB Research.

Firma itu juga membayangkan kadar faedah sebenar negatif domestik dijangka pulih apabila kenaikan kadar faedah dan inflasi menyederhana pada 2018.

Dalam nota penyelidikan berasingan, AllianceDBS Research berkata keputusan BNM semalam untuk mengekalkan OPR bagi enam mesyuarat berturut-turut telah dijangkakan.  Firma penyelidikan itu percaya paras OPR  sekarang masih menyokong keadaan kewangan dan makro domestik.

“Keseluruhannya, kami percaya BNM akan mengekalkan OPR kukuh pada tiga peratus sepanjang tahun.

“Kami mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar 2017 kami pada 5.0 peratus (2016:+4.2 peratus) dan unjuran inflasi pada 3.5 peratus (2016: +2.1 peratus),” kata AllianceDBS.

Pada Khamis, BNM berkata pada paras OPR semasa tiga peratus, pendirian dasar monetari itu akomodatif dan menyokong aktiviti ekonomi.  BNM mengekalkan kada faedah utama tidak berubah pada tiga peratus sejak 13 Julai, 2016.

Artikel Lain