suria

Bank Mandiri Akan Beroperasi Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Bank Mandiri Indonesia muncul sebagai Bank Asean Bertauliah pertama yang akan memulakan operasinya di sini tidak lama lagi, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Muhammad Ibrahim.

Beliau berkata, BNM juga berharap proses ratifikasi atau pengesahan itu akan dapat dimuktamadkan dengan lancar bagi membolehkan operasi Bank Mandiri, sekali gus menjadi detik bermakna dalam usaha penyepaduan kewangan di rantau Asean.

“Kemuncak usaha kami adalah menerusi pemeteraian Rangka Kerja Integrasi Perbankan Aseran (ABIF) oleh Gabenor Bank-Bank Pusat Asean pada 2014.

“Satu lagi pencapaian penting lain adalah pemeteraian perjanjian dua hala ABIF antara Ketua Perkhidmatan Kewangan Indonesia,  Muliaman Hadad dan saya pada Ogos 2016.

"Kini, kami berbangga dapat melihat usaha penyepaduan perbankan Asean itu dapat direalisasikan," katanya pada majlis makan tengah hari oleh Bank Mandiri di sini, Khamis.

Muhammad berkata di bawah ABIF, bank-bank di rantau ini dapat memainkan peranan lebih besar bagi kemudahan perdagangan rentas sempadan, pelaburan selain mempertingkatkan rangkaian hubungan.

Menurutnya, rangka kerja itu juga membolehkan usaha penyepaduan secara mendalam dan pada masa sama menyediakan jaminan sewajarnya bagi objektif pembangunan kebangsaan dan kestabilan kewangan.

“Bersandarkan peranan penting bank-bank dalam ekonomi serantau, pelaksanaan ABIF itu akan menjadi pemangkin utama bagi mengukuhkan pertumbuhan bersama secara lebih mapan dan inklusif di rantau ini.

“Malah, sejajar komitmen Malaysia ke arah usaha itu, ABIF telah diratifikasi pada Mac tahun ini,” katanya.

Kehadiran Bank Mandiri di Malaysia menerusi Rangka Kerja ABIF itu juga menyediakan peluang bagi mempertingkatkan penyepaduan sistem pembayaran antara Malaysia dan Indonesia.

Sementara itu, Pengarah Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Bank Mandiri, Kartika Wirjoatmodjo dilaporkan sebagai berkata PT Bank Mandiri (Persero) dijangka memulakan operasinya di sini menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, permulaan operasi perbankan itu pula akan bergantung kepada audit BNM yang akan dilakukan beberapa bulan akan datang.-- Bernama 

Mandiri, Bank Negara Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain