Asean, India Harap Muktamad RCEP Pada Akhir Tahun

Diterbitkan: Jumaat, 7 Julai 2017 2:53 PM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Asean dan India berharap Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dapat dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini meskipun masih ada beberapa isu penting yang perlu diselesaikan.

Perunding dari 16 negara akan berkumpul di Hyderabad, bandar di selatan India, lewat bulan ini untuk membincangkan butiran terperinci RCEP.

"Kami berharap ia dapat dimuktamadkan pada akhir tahun ini," kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar Thailand, Virasakdi Futrakul.

Harapan beliau itu adalah apa yang disuarakan oleh para pegawai dari  Asean dan India yang menyertai forum tahunan tersebut.

Rundingan RCEP, yang bermula pada 2012,  melibatkan  ASEAN dengan 10 anggota dan rakan kongsi perdagangan sedia adanya, iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Kejayaan penubuhan perkongsian ini akan mewujudkan kawasan perdagangan bebas merangkumi 3.5 bilion penduduk di Asia Utara hingga ke India.

Meskipun prospek yang optimistik, masih ada lagi keraguan sama ada negara-negara yang terlibat boleh menangani perbezaan dalam bahagian penting tertentu.  India tidak berkompromi dalam peraturan sektor perkhidmatan dan mahukan lebih lagi kebebasan dalam pergerakan bagi pekerjanya, dan juga enggan menghapuskan tarif.

Namun, Menteri Hal Ehwal Luar India, Sushma Swaraj nampaknya yakin dengan rundingan pusingan ke-19 yang akan datang.

"Kami berharap dapat mencapai hasil positif daripada pusingan rundingan seterusnya di Hyderabad.

“Sebaik sahaja dimuktamadkan, RCEP menawarkan kemungkinan amat besar sebagai perjanjian dagangan serantau terbesar dunia, menyumbang kira-kira 40 peratus daripada perdagangan dunia,” katanya.

Kedua-dua Asean dan India melihat RCEP sebagai dorongan baharu dalam membangunkan hubungan ekonomi dan politik yang lebih rapat.  "Ini adalah peringkat seterusnya dalam proses penyepaduan ekonomi kita,” kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Brunei, Erywan Pehin Yusof.

Selepas pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), negara-negara yang menyertai perjanjian itu melihat manfaat untuk memuktamadkan RCEP.

Pada Mei, Menteri Perdagangan New Zealand Todd McClay dilaporkan sebagai berkata pihak-pihak yang terbabit amat berharapkan kejayaan hasil daripada rundingan RCEP.

“Namun usaha keras perlu dilakukan untuk memastikan ia dimuktamadkan pada akhir tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Bunn Nagara, Felo Kanan di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpangkalan di Kuala Lumpur memberi tahu Bernama, sukar untuk menyatakan sama ada rundingan itu boleh dimuktamadkan tahun ini.

"Apa yang paling penting adalah RCEP dibangunkan. Ia menunggu masa sahaja," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan