suria

Fasa Satu Bandaraya Sukan KL Diserahkan Kepada KBS - MRCB

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) akan menyerahkan empat venue di bawah fasa satu projek Bandaraya Sukan Kuala Lumpur secara berperingkat kepada Kementerian Belia dan Sukan sebelum tarikh akhir pada 22 Julai.

Pengurus Besar MRCB, S. Nalgunalingam berkata kerja-kerja pengubahsuaian di empat gelanggang di bawah projek itu – Stadium Hoki Nasional 1 dan 2, Pusat Akuatik Nasional, Stadium Nasional Bukit Jalil dan juga Arena Axiata (dahulu dikenali sebagai Stadium Putra) hampir siap dengan hanya kerja-kerja kecil masih dijalankan.

"Projek ini hampir 99 peratus siap dan banyak ujian telah dijalankan sejak beberapa minggu lepas. Kita kini di tengah-tengah untuk memuktamadkan penyerahan Pusat Akuatik Nasional dan juga Stadium Hoki Nasional 1 dan 2, minggu depan dan menjelang akhir Julai, kita akan menyerahkan Arena Axiata kepada Kementerian.

"Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melawat Pusat Akuatik Nasional semalam dan beliau amat gembira dengan kerja-kerja menaik taraf yang dijalankan setakat ini dan saya yakin kita berada di landasan yang betul untuk menyiapkan semua kerja-kerja menaik taraf sebelum tarikh akhir," kata beliau.

Nalgunalingam berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi beberapa legenda sukan negara melawat sekitar Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, di sini, Khamis.

Antara legenda sukan negara yang menyertai lawatan ialah Tan Sri Dr M. Jegathesan dan Datuk Rabuan Pit (olahraga), Datuk Santokh Singh, Khalid Ali dan Datuk Soh Chin Aun (bola sepak) dan juga Datuk James Selvaraj (badminton).

Mengulas lanjut, Nalgunalingam berkata semua gelanggang kecuali Pusat Akuatik Nasional telahpun menerima sijil daripada badan sukan dunia yang berkenaan seperti Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa  (IAAF) dan juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (IFF) yang merupakan keperluan penting sebelum venue itu boleh digunakan untuk menghoskan acara antarabangsa.

"Hari ini, kita menerima sijil daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (IHF). Kita akan mengadakan lebih banyak ujian minggu ini dan juga minggu depan sebelum Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) boleh mengeluarkan sijil bagi Pusat Akuatik Nasional," kata beliau.

Selepas siapnya fasa pertama dengan kos RM500 juta dan Sukan SEA 2017, MRCB akan memulakan fasa kedua pada Januari 2018.

Fasa kedua akan menyaksikan kewujudan Bandaraya Sukan KL sebagai hab sukan bersepadu sepenuhnya yang mengandungi infrastruktur bertaraf dunia termasuk kemudahan latihan berprestasi tinggi, pusat sains rehabilitasi, taman belia, kemudahan awam, pusat konvensyen dan gedung runcit.

MRCB menerusi anak syarikatnya Rukun Juang Sdn Bhd dipilih oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek Bandaraya Sukan KL pada Oktober 2015.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain