suria

Untung Pracukai SME Bank Meningkat

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016 melonjak kepada RM67 juta daripada RM48 juta yang dicatatkan pada setahun lepas.

Dalam kenyataan hari ini, SME Bank berkata, perolehan turut merekodkan RM109 juta pada 2016, didorong prestasi lebih baik yang dicatat operasi perbankannya dan keputusan positif pelaburan.

"Prestasi itu disokong oleh pertumbuhan berterusan daripada pendapatan kasar perniagaan perbankan Islam, yang berkembang 15 peratus tahun ke tahun kepada RM336 juta pada 2016," menurutnya.

SME Bank juga berkata, ia memperoleh kelulusan Kementerian Kewangan untuk menukar kemudahan pembiayaan RM500 juta olehnya kepada ekuiti, sekali gus menjadikan modal berbayar lebih tinggi iaitu RM1.85 bilion berbanding RM1.35 bilion pada 2016.

"Portfolio pembiayaan meningkat 12 peratus kepada RM6 bilion pada 2016 daripada RM5.4 bilion pada 2015," menurutnya.

Mengenai nisbah susut nilai bersih, bank itu berkata, ia berada pada 8.2 peratus pada 2016, didorong peranan pembangunannya sebagai institusi kewangan pembangunan (DFI) dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana bermandat tunggal.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, sebagai peserta utama dalam kalangan enam DFI di negara ini, SME Bank mempunyai 38 peratus bahagian pasaran setakat ini.

"Seiring usaha kerajaan untuk menerima pakai penggunaan teknologi digital pada masa depan, kami akan terus kekal inovatif dalam pendekatan untuk mempertingkatkan perkhidmatan yang diberikan kepada PKS," katanya.

Artikel Sebelum

Melaka Wujud Bazar Rakyat

Artikel Berikut

Artikel Lain