suria

Malaysia Komited Tingkatkan Pelaburan Di Indonesia

KUALA LUMPUR: Malaysia komited untuk meningkatkan pelaburan di Indonesia, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, sehubungan itu, kedua-dua negara akan mengemukakan cadangan bagi meningkatkan perdagangan, termasuk bidang berpotensi untuk kerjasama seperti ekonomi digital, perusahaan kecil dan sederhana serta mikro.

"Cadangan itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Pelaburan dan Perdagangan ketiga yang akan diadakan di Kuching, Sarawak pada 10 hingga 13 Julai depan," katanya dalam satu kenyataan.

Mustapa mengkahiri lawatan kerja ke Indonesia pada 11 hingga 13 Jun dan beliau turut menghadiri sesi meja bulat yang disertai 80 pemimpin perniagaan, masing-masing 40 dari setiap negara.

Sesi itu turut dihadiri wakil Majlis Perniagaan Malaysia-Indonesia dan Khazanah Nasional, di samping rakan perniagaan dari Indonesia, yang mencerminkan minat untuk melabur di negara tersebut.

"Semasa kunjungan hormat saya ke atas Presiden Joko Widodo, saya menyatakan minat syarikat Malaysia untuk terus melabur dalam pembangunan infrastruktur di Indonesia.

"Ekonomi Indonesia yang bernilai US$1 trilion dengan penduduk berjumlah 250 juta dengan kelas pertengahan yang semakin bertambah, mempunyai banyak potensi dan jika dimanfaatkan akan memberi sumbangan penting ke arah mewujudkan ASEAN yang lebih makmur," katanya.

Pada 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau ingin menggandakan perdagangan dengan Indonesia kepada US$30 bilion dalam tahun-tahun akan datang.

Pada 2016 jumlah perdagangan Malaysia-Indonesia berada pada US$13.8 bilion. Sejak 2008 hingga 2016, Malaysia melabur kira-kira US$15 bilion di Indonesia manakala pelaburan Indonesia di Malaysia kira-kira US$2.6 bilion.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain