suria

MAHB Catat 10.6 Juta Pergerakan Penumpang Pada Mei 2017

KUALA LUMPUR: Rangkaian lapangan terbang Malaysia Airports Holdings Bhd telah mencatat 10.6 juta pergerakan penumpang pada Mei 2017, iaitu pertumbuhan 6.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata, trafik penumpang antarabangsanya meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun kepada 4.8 juta penumpang pada Mei 2017, manakala trafik domestik berkembang 1.5 peratus kepada 5.8 juta.

Pada asas 12 bulan lepas, rangkaian lapangan terbang MAHB telah mencatat pertumbuhan 7.1 peratus dengan 122.9 juta penumpang, iaitu trafik tertinggi dikendalinya dalam tempoh 12 bulan.

MAHB berkata, trafik pada Mei untuk terminal utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur meningkat 12.7 peratus tahun ke tahun, manakala trafik untuk KLIA2 naik 11.6 peratus.

"Keseluruhannya, pergerakan pesawat meningkat 0.7 peratus dengan pergerakan antarabangsa naik 4.8 peratus manakala domestik merosot 1.6 peratus berbanding Mei 2016," katanya.

MAHB berkata, lapangan terbang di Malaysia mencatat 7.9 juta penumpang pada Mei 2017, iaitu pertumbuhan 8.5 peratus tahun ke tahun berbanding Mei 2016.

"Keseluruhan purata faktor muatan juga meningkat kepada 75.1 peratus pada Mei 2017, iaitu kenaikan 1.5 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas," tambahnya.-- Bernama

MAHB, KLIA

Artikel Lain