Untung Sebelum Cukai Petronas Melonjak Lebih 100 Peratus

Diterbitkan: Sabtu, 3 Jun 2017 11:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Petroliam Nasional Bhd''s (Petronas) bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2017 melonjak lebih 100 peratus kepada RM15.5 bilion daripada RM6.8 bilion pada tempoh sama, tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak negara itu berkata pendapatan lebih tinggi bagi suku berkenaan dipacu terutamanya oleh peningkatan harga minyak serta margin lebih baik dicatatkan perniagaan huluan dan hilirannya.

Ini, katanya, sejajar dengan usaha transformasi yang sedang dilaksanakan dan terbukti menghasilkan pengoptimuman kos serta peningkatan kecekapan yang merentasi rantaian nilai syarikat berkenaan.

Keuntungan sebelum cukai lebih kukuh itu juga disumbangkan terutamanya oleh peningkatan hasil susulan kenaikan purata harga sebenar dan penyusutan bersih aset lebih rendah yang sebahagiannya diimbangi oleh peningkatan pencukaian, kos pelunasan hartanah minyak dan gas serta produk.

Hasilnya bagi suku itu meningkat sebanyak 25 peratus kepada RM61.6 bilion daripada RM49.1 billion pada suku sama 2016, didorong oleh purata harga direalisasikan lebih tinggi merangkumi semua produk, impak kadar pertukaran serta peningkatan jumlah jualan gas yang diproses.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin menyifatkan prestasi kumpulan yang kukuh dalam suku pertama tahun ini turut dipacu terutamanya oleh inisiatif-inisiatif transformasi Petronas yang terus mendapat sambutan.

"Ini telah mengukuhkan kerjasama dalaman yang merentasi perniagaan huluan serta hiliran (Petronas) yang menyebabkan peningkatan kadar penggunaan kilang, pengeluaran serta pembentukan nilai secara keseluruhannya.

"Kita akan terus menumpukan usaha melonjakkan perniagaan huluan dan hiliran bagi memaksimumkan pulangan serta meraih nilai sebagai sebuah syarikat minyak dan gas bersepadu sepenuhnya," katanya.

Selain itu, Petronas berkata pendapatan sebelum faedah, cukai, penyusutan dan margin pelunasan kumpulan itu meningkat RM9.0 bilion atau 58 peratus kepada RM24.6 bilion berbanding RM15.6 bilion bagi suku sama tahun lepas.

Aliran tunai operasi kumpulan juga meningkat sebanyak 86 peratus kepada RM18.0 bilion berbanding suku sama tahun lepas berikutan harga purata yang lebih tinggi.

Selain itu, pelaksanaan usaha-usaha dalaman bagi mengurangkan kos serta mempertingkatkan kecekapannya juga terus membolehkan Petronas mengurangkan perbelanjaan operasi boleh dikawal kepada RM11.1 bilion daripada RM11.4 bilion.

Dalam pada itu, jumlah aset kumpulan pula berkurangan kepada RM602.1 bilion setakat 31 Mac, 2017 daripada RM603.3 bilion setakat 31 Dis, 2016 susulan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Ekuiti pemegang sahamnya pula meningkat kepada RM386.9 bilion setakat 31 Mac, 2017 daripada RM380.3 bilion setakat 31 Dis, 2016 yang disumbang oleh keuntungan yang dijana dalam tempoh berkenaan.

Nisbah hutang merosot kepada 17.1 peratus setakat 31 Mac, 2017 berbanding 17.4 peratus setakat 31 Dis, 2016 dengan sebahagian besarnya hasil peningkatan keuntungan ekuiti diraih dalam tempoh itu.

Pulangan ke atas purata modal yang digunakan (ROACE) pula meningkat kepada 6.6 peratus berbanding 5.3 peratus setakat 31 Dis, 2016 yang seiringan dengan peningkatan keuntungan kumpulan

Bagi kemajuan masa depan, Petronas mengekalkan prospek konservatif untuk tempoh berbaki 2017 biarpun mencatat keputusan positif kerana keseimbangan permintaan dan penawaran yang masih perlahan.

Kumpulan itu juga akan memberi tumpuan kepada usaha di semua peringkatnya bagi mengoptimumkan kos, meneruskan daya kecekapannya dan kecemerlangan operasi menerusi kerjasama dalam industri itu, kata Petronas. -- Bernama

Tags / Kata Kunci: Petronas

iklan

Video

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Kolumnis

iklan

Iklan