suria

Kerajaan Puji Inisiatif BSN Bantu Penduduk Luar Bandar

Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) negeri Johor muncul sebagai penerima Anugerah Pengurussan Ejen Bank (EB) BSN Terbaik. Foto RAJA FAISAL HISHAN

PETALING JAYA: Keperihatinan Bank Simpan Nasional (BSN) dalam menyediakan perkhidmatan perbankan asas untuk kemudahan penduduk di luar bandar mendapat pujian dan sokongan kerajaan.

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Wira Othman Aziz berkata, sikap tanggungjawab ditunjukkan oleh BSN adalah satu bentuk inisiatif dalam menyokong kerajaan dalam menguar-uarkan dan menawarkan fasiliti serta kemudahan kepada rakyat.

"Kerajaan memuji dan mendokong peranan ditunjukkan oleh BSN kerana ia menunjukkan peranan mereka dalam pembangunan komuniti untuk segmen perbankan amat luas.

"BSN bukan sahaja menjadi ejen pelaksana untuk insentif-insentif kerajaan, bahkan turut menyokong inisiatif kerajaan dalam menguar-uarkan dan menawarkan fasiliti atau kemudahan kepada rakyat," katanya.

Othman bercakap demikian dalam ucapannya ketika menghadiri Malam Anugerah EB BSN yang diadakan di sini, Sabtu.

Pada acara itu, cawangan BSN negeri Johor muncul sebagai penerima Anugerah Pengurussan Ejen Bank (EB) BSN Terbaik.

Semua pemenang EB BSN bersama hadiah masing-masing.

Anugerah yang pertama kali diperkenalkan itu turut menyaksikan pemenang membawa pulang Piala Pusingan Ketua Ekskutif serta wang tunai bernilai RM5,000.

Sebanyak 19 anugerah melibatkan empat kategori diumumkan dan disampaikan kepada pemenang dengan nilai keseluruhan hadiah berjumlah RM85,000 berupa Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), pakej percutian dan trofi.

Sementara itu, Pengerusi BSN, Tan Sri Abu Bakar dalam ucapannya pula berkata, pihaknya akan terus kekal relevan dalam memberi akses perbankan secara menyeluruh kepada masyarakat terutama di kawasan luar bandar menerusi rangkaian EB BSN sejak ia diperkenalkan pada 2012.

Katanya, sepanjang tempoh lima tahun EB BSN dilaksanakan, jumlah keseluruhan transaksi perbankan meningkat kepada 99 juta transaksi dengan nilai hampir RM7 bilion berbanding tiga juta pada 2012.

"Disamping itu, jumlah deposit diperoleh melalui EB BSN turut meningkat hampir lima kali ganda daripada RM44 juta kepada RM215 juta termasuk lebih daripada 25,000 pembukaan akuan baru direkodkan," katanya.

Pengenalan perkhidmatan Ejen Bank Berdaftar oleh Bank Negara Malaysia adalah berdasarkan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020 dan ia merupakan satu perkhidmatan perbankan alternatif yang kemudian diterajui oleh BSN untuk merapatkan jurang rangkuman kewangan yang sedia ada.

EB BSN kini mempunyai tujuh perkhidmatan ditawarkan antaranya, deposit, pengeluaran wang tunai, pembayaran bil, simpanan BSN SSP, pembayaran tanpa tunai dan perkhidmatan pembukaan akaun Giro serta Giro-i.

EB BSN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain