suria

Bernas Taja Petani Tunai Umrah

KUALA LUMPUR: Padiberas Nasional Bhd (Bernas) tahun ini menaja 100 orang petani ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah umrah sebagai menghargai usaha dan keringat mereka menjual padi kepada syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernas, Abdul Karim Md Lassim berkata program Umrah Petani bermula pada 2006 dan penghantaran dibuat secara berperingkat.

"Tahun ini, Bernas buat pertama kali menghantar semua 100 orang petani secara sekali gus bagi memudahkan mereka melakukan ibadah umrah secara tersusun dan teratur dengan diawasi rapat agensi bertanggungjawab, TH Travel  and  Services Sdn Bhd, anak syarikat kumpulan Lembaga Urusan Tabung Haji," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jemaah terlibat akan diiringi tiga orang kakitangan Bernas dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 7.30 malam ini dengan menaiki pesawat Saudi Air SV835. Mereka dijangka pulang ke tanah air pada 28 Mei depan," katanya.

Beliau berkata sejak program itu dimulakan, Bernas telah menaja perjalanan umrah sebanyak 875 orang petani dengan penajaan bernilai kira-kira RM7.2 juta.

Abdul Karim berkata selain penajaan menunaikan ibadah umrah, Bernas turut memperkenalkan Program Rakan Ladang (PRL) pada tahun 2009, sebagai satu rancangan usaha sama antara Bernas dan warga petani yang bertujuan menggalakkan pengurusan aktiviti penanaman padi secara sistematik

"Sejak PRL diperkenalkan Bernas telah membelanjakan sebanyak RM355 juta dalam bentuk wang pendahuluan kepada para petani untuk mengusahakan sawah selain penyediaan latihan dan bimbingan kepada Amalan Pertanian Baik," katanya.

Selain itu, Bernas memperkenalkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sukarelawan iaitu Program Ikhlas Bernas yang menggalakkan kakitangan syarikat Bernas bagi mendekati golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim dan fakir miskin terutamanya di negeri-negeri yang mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi, katanya.

Bernas, Umrah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain