suria

Malindo Air Tembusi Destinasi Global

PETALING JAYA: Malindo Air kini akan melebarkan sayapnya ke Timur Tengah, Eropah dan juga Afrika menerusi jalinan kerjasama dengan beberapa syarikat penerbangan global.

Syarikat penerbangan milik Malaysia-Indonesia itu sebelum ini hanya tertumpu kepada benua Asia sejak ia beroperasi pada Mac 2013.

Sebagai permulaan, Malindo akan berkongsi kod dan kerjasama pertukaran penumpang serta bagasi dengan syarikat penerbangan dari Timur Tengah, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Chandran Rama Muthy.

"Kami kini di peringkat terakhir untuk menentukan perkongsian kod dengan sebuah syarikat penerbangan Timur Tengah yang akan memberikan kami akses kepada destinasi global. Ini bermakna pelanggan kami boleh membuat tempahan dan penerbangan ke mana-mana destinasi antarabangsa yang dimiliki oleh syarikat berkenaan," katanya.

Malindo yang kini dikenali sebagai sebuah syarikat penerbangan perkhidmatan penuh turut dalam perbincangan dengan 30 buah lagi syarikat penerbangan untuk pelbagai perkongsian perkhidmatan lain.

Buat masa ini, Malindo mempunyai kerjasama dengan empat pemain global iaitu Etihad, Oman Air, Turkish Airlines dan Qatar Airways.

Kerjasama ini telah menyaksikan peningkatan trafik sebanyak lapan peratus kepada Malindo.

Chandran yakin mereka akan mengikat kerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 lagi syarikat penerbangan global tidak lama lagi."Dan menjelang hujung tahun ini kami berharap untuk mengikat kerjasama dengan 30 syarikat penerbangan," ujarnya.

Antara syarikat penerbangan yang sedang dalam rundingan dengan Malindo ialah Thai Airways, Philippine Airlines, All Nippon Airways, Xiamen Airlines dan African Airways.

Kerjasama ini membenarkan penumpang dari satu penerbangan meneruskan perjalanan menggunakan syarikat penerbangan lain tanpa perlu membuat daftar masuk baru dan perpindahan bagasi secara automatik.

Bagaimanapun bagi Chandran, matlamat terakhir mereka ialah untuk memeterai perjanjian perkongsian kod dengan syarikat-syarikat penerbangan global yang lain kerana menerusi perkongsian kod, mereka boleh menjual tiket secara terus kepada pelanggan untuk destinasi global seperti London, New York, Istanbul, Mexico, Cape Town dan lain-lain lagi.

"Pada masa yang sama, rakan kongsi kami juga dapat menawarkan tiket untuk 45 destinasi yang kami miliki," ujarnya.

Malindo Air memulakan operasinya sebagai sebuah syarikat penerbangan hibrid iaitu di dalam kategori di antara syarikat tambang murah dan perkhidmatan penuh.

Ia mencatatkan jumlah trafik sehingga 900,000 penumpang pada tahun pertama perkhidmatannya.

Tahun lalu, Malindo berjaya mencatatkan jumlah trafik sehingga 5.6 juta penumpang termasuklah perkhidmatan tempahan khas.

Tahun ini, Chandran mensasarkan lapan juta penumpang.

"Kami berhasrat untuk mengembangkan sayap ke destinasi-destinasi baru seperti Utara Asia, Australia, India dan juga Asia Tenggara. Malindo juga menunggu untuk menawarkan destinasi baru seperti Sydney, Melbourne dan Phnom Penh," katanya lagi.

Malindo katanya menjangka untuk menerima tujuh buah pesawat baru sepanjang tahun ini. Kesemuanya mereka memiliki 45 buah pesawat buat masa ini.

Dengan penambahan pesawat baru ini, Malindo, katanya, mampu menawarkan sejumlah dua juta lagi tempat duduk iaitu tambahan kepada 11 juta tempat duduk yang mereka miliki sekarang.

Minggu hadapan, Tambah Chandran, Malindo akan menerima pesawat baru Boeing 737-Max 8 dan akan mula beroperasi mulai 22 Mei menerusi laluan Kuala Lumpur-Singapura.

Pesawat baru ini menawarkan penjimatan bahan bakar sehingga 14 peratus dan kos operasi yang lebih rendah (sehingga lapan peratus) dengan kapasiti 180 orang penumpang.

Malindo Air dimiliki oleh Kumpulan Lion dari Indonesia (49 peratus) manakala baki 51 peratus lagi dimiliki oleh rakan kongsi dari Malaysia yang diketuai oleh Chandran. 

Malindo Air

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain